NILAI: Pelumba negara Muhammad Fadhil Mohd Zonis menamatkan penantian tujuh tahun untuk meraih gelaran di pentas Asia selepas mengungguli acara 1 kilometer (km) ujian masa individu (ITT) di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 hari ini.

Pelumba berusia 25 tahun itu mencatatkan satu minit 00.559 saat pada final di Velodrom Nasional, sekali gus mengakhiri kemarau lebih sedekad Malaysia untuk gelaran tersebut, selepas kejayaan Mohd Edrus Yunus pada edisi 2012 di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras.

Pingat perak dan gangsa menjadi milik Ronaldo Laitonjam (1:00.863s) dari India dan Choi Woorim (1:01.541s) dari Korea Selatan.

Muhammad Fadhil, yang membuat debut ACC sejak menyertai skuad elit pada 2016, mendedikasikan kejayaan itu kepada arwah bapanya, Mohd Zonis Mokhtar sempena Hari Bapa yang disambut semalam.

"Saya agak beremosi selepas menang tadi, terkenang arwah bapa saya yang meninggal pada 2019 dan adik yang 50-50 selepas kemalangan baru-baru ini. Ayah saya menjadi tunjang kepada perkembangan kerjaya saya, dan saya pun mahu memenangi pingat ini untuk beliau sejak sekian lama yang akhirnya tercapai sekarang.

"Ketika beliau sakit, saya banyak berada di Melbourne (mengikuti latihan), tidak dapat berada bersamanya. Saya juga ingat pesanannya beberapa hari sebelum meninggal, beliau minta saya untuk meneruskan kem latihan ke Jerman walaupun beliau sudah tahu masanya sudah tiba," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah.

Muhammad Fadhil, yang terpaksa akur dengan pingat perak pada edisi 2020 di Jincheon, Korea Selatan dan 2022 di New Delhi, India, berkata turut mengambil inspirasi daripada dua pelumba seniornya, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom, yang masing-masing meraih emas dan gangsa keirin semalam.

Sementara itu, kayuhan bertenaga Nurul Izzah Izzati Mohd Asri untuk memecahkan rekod kebangsaan acara 500m ITT wanita dengan catatan 34.226s, tidak cukup untuk mempertahankan pingat emas acara itu.

Pelumba cilik berusia 19 tahun itu terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, manakala Jiang Yulu (33.426s) dari China dan pelumba Jepun, Aki Sakai (34.273s) masing-masing merangkul emas dan gangsa.

Catatan Nurul Izzah Izzati pada hari ini, berjaya mengatasi rekod 34.542s milik bekas pelumba kebangsaan Fatehah Mustapa yang dilakukan pada Sukan SEA 2017, di venue sama.

"Walaupun agak sedih tidak dapat meraih emas, saya tetap bersyukur kerana berjaya memecahkan rekod kebangsaan dan raih perak. Mungkin saingan ACC bertambah sengit, tetapi saya akan terus bekerja keras untuk meningkatkan prestasi," katanya.

-- BERNAMA