PENGADIL kontroversi, Anthony Taylor, menerima penghinaan ketika di bilik persalinannya oleh barisan kejurulatihan pasukan Jerman selepas perlawanan suku akhir EURO 2024 di antara pasukan tuan rumah dan Sepanyol, Jumaat lalu.

Hal ini kerana, pembantu Juliann Nagelsmann berang dengan keputusan wasit tersebut yang tidak memberikan sepakan penalti susulan bola yang terkena tangan pertahanan Sepanyol, Marc Cucurella.

Perlawanan tersebut menyaksikan skuad La Roja berjaya memenangi aksi suku akhir itu menewaskan pasukan Jerman menerusi jaringan pemain gantian, Dani Olmo dan Mikel Merino.

Menurut akhbar Jerman Bild, pembantu ketua jurulatih, Sandro Wagner, menyerbu masuk bilik persalinan pengadil untuk melemparkan amarah dan rasa tidak puas hati dengan pendekatan yang diambil oleh pengadil tersebut yang tidak memberikan kelebihan buat pasukannya.

Terdahulu, pengadil berusia 45 tahun itu juga menerima kecaman daripada pengendali berpengalaman, Jose Mourinho, yang turut mempertikaikan keputusannya ketika perlawanan akhir Liga Eropah (UEL) di antara AS Roma dan Sevilla. - Stadium Astro