BINTANG baharu Real Madrid, Kylian Mbappe, mengakui berasa letih ketika Perancis bergelut untuk mencapai prestasi di EURO 2024.

Les Bleus bekerja keras mengharungi pertandingan itu dan mereka akan berdepan pertembungan separuh akhir menentang Sepanyol awal pagi Rabu di Munich.

Perancis menduduki tempat kedua dalam Kumpulan D di belakang Austria, dengan hanya menjaringkan dua gol, termasuk gol sendiri dan penalti untuk Mbappe.

Corak itu berterusan di peringkat kalah mati dengan satu lagi gol sendiri menentang Belgium dan penentuan sepakan penalti menyaksikan mereka melepasi Portugal.

Mbappe mendapati dirinya menjadi pusat kritikan kerana prestasi individu dan kolektif yang lemah walaupun mara ke separuh akhir.

Kapten Perancis itu menawarkan pandangannya tentang mengapa dia bergelut di kejohanan itu menjelang pertembungan penting menentang Sepanyol.

“Saya minta dikeluarkan (ketika menentang Portugal). Pada separuh masa dalam masa tambahan, saya memberitahu pengurus saya sudah tidak larat lagi, saya terlalu letih,” katanya.

Jika Perancis melepasi Sepanyol ke final mereka akan menentang sama ada England atau Belanda kerana mereka menyasarkan gelaran Eropah pertama sejak 2000. - Stadium Astro