KEMENANGAN 3-0 melalui penentuan sepakan penalti membawa Portugal melangkah ke peringkat suku akhir saingan EURO 2024 selepas menewaskan Slovenia dengan kemenangan penuh dramatik di Arena Frakfurt, sebentar tadi.

Walaupun skuad Selecao mendominasi perlawanan dalam separuh masa pertama tetapi benteng pertahanan Slovenia yang lebih berdisiplin mudah menangkis setiap serangan yang diatur untuk kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Anak buah Roberto Martinez menggandakan asakan di bahagian serangan dalam separuh masa kedua untuk memaksa Slovenia berkerja lebih keras dan bertahan.

 
Beberapa peluang berjaya dicipta kedua-dua pasukan tetapi ketumpulan penyudah yang hambar kekal hingga tamat 90 minit untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Dalam masa tambahan, Portugal hampir mendahului Slovenia pada minit ke-105 melalui sepakan penalti yang dihadiahkan oleh pengadil perlawanan selepas Diego Jota dikasari pemain lawan, tetapi Jan Oblak cemerlang menafikan sepakan yang diambil oleh Cristiano Ronaldo.

Serangan bertali arus kedua-dua pasukan tidak berjaya membuahkan hasil sekali gus membawa permainan ke penentuan sepakan penalti.

 

Diogo Costa menjadi watak utama apabila menyelamatkan tiga sepakan penalti untuk membawa Portugal melangkah ke pusingan seterusnya.

Skuad kendalian Didier Deschamps menanti Portugal Sabtu ini dalam saingan suku akhir EURO 2024 selepas menewaskan Belgium 1-0 awal pagi tadi. - Stadium Astro