WEST HAM 1 CHELSEA 1

Keputusan video bantuan pengadil (VAR) pada lewat permainan menyelamatkan Chelsea daripada tewas di tangan seteru London, West Ham, untuk keputusan 1-1 kekal sehingga penghujung perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sebentar tadi.

Tomas Soucek kelihatan telah melengkapkan kebangkitan The Hammers menerusi jaringannya pada minit ke-82 tetapi semakan VAR mendapati Declan Rice terlebih dahulu berada di kedudukan ofsaid sebelum melakukan tandukan awal, sekali gus menyelamatkan Chelsea daripada satu lagi kekalahan.

The Blues menikmati permainan terbaik mereka sepanjang di bawah bimbingan Graham Potter pada 25 minit pertama perlawanan itu, di mana Joao Felix membuka jaringan pada minit ke-16 dalam kepulangannya daripada penggantungan perlawanan -- menyempurnakan lintangan lencong Enzo Fernandez.

Bagaimanapun, bekas pertahanan sayap Chelsea, Emerson Palmieri, menyamakan kedudukan pada minit ke-28 dan walaupun pelawat menguasai permainan sepanjang sejam selepas itu, kebuntuan di depan gawang lawan menyaksikan mereka terpaksa bergantung kepada keputusan VAR pada penghujung perlawanan bagi mengelakkan kekalahan.

West Ham, dalam pada itu, turut perlu berterima kasih kepada pengadil apabila percubaan Conor Gallagher menjelang wisel penamat jelas kelihatan terkena tangan Soucek tetapi tiada sepakan penalti diberikan kepada Chelsea. - Stadium Astro