Enzo Maresca meraih kemenangan pertama dalam aksi Liga Perdana Inggeris ihsan hatrik Madueke dalam tempoh 14 minit, selepas Matheus Cunha dan Jorgen Strand Larsen menafikan jaringan pembukaan Nicolas Jackson dan Palmer. Pemain baru, Joao Felix kemudian melengkapkan kemenangan bergaya The Blues ketika perlawanan berbaki 10 minit.
Ini merupakan kali kelima gandingan dua pemain melengkapkan hatrik dan bantuan jaringan dalam aksi EPL, dan Madueke cukup berpuas hati dengan gandingan antara dirinya dan Palmer.
"Luar biasa. Dia dingin, dan saya api, jadi ia bergabung dengan cukup baik," kata Madueke kepada PLP.
"Dia memiliki keboleh untuk melakukan hantaran pada masa yang tepat. Saya pula gemar mendapat bola dan memiliki ruang, mengatasi pertahanan dan ia berlaku dalam perlawanan ini."
Maresca merupakan pengurus pertama dalam sejarah EPL yang menyaksikan pasukannya menjaringkan enam gol dalam perlawanan di tempat lawan pertamanya dalam pertandingan itu.
Walaupun berpuas hati dengan kemenangan itu, Maresca mengakui masih ada penambahbaikan yang perlu dilakukan.
"Persembahan itu bagus. Saya rasa separuh masa pertama bukanlah persembahan yang lengkap, kami bermula dengan baik dalam 10 hingga 15 minit pertama, kami menjaringkan gol dan mempunyai dua atau tiga lagi peluang," katanya kepada Sky Sports.
"Kemudian kami kehilangan beberapa bola mudah. Apabila anda mahu membina dari belakang, anda tidak boleh membiarkan diri anda kehilangan bola mudah, jika tidak, anda melepaskan bola mati dan serangan balas. Anda perlu lebih tepat. Secara keseluruhan, persembahan adalah baik." - Stadium Astro