Selain Endrick yang dipercayai mengalami kecederaan di kaki, seorang lagi tidak bernasib baik ialah pemain pertahanan kiri La'vere Corbin-Ong yang juga dipercayai dibelenggu kecederaan lama di kaki.
Endrick antara dua pemain yang tidak kelihatan dalam sesi latihan pasukan di padang Universiti Qatar di sini, malam tadi, selain pemain pertahanan kanan Matthew Davies yang dipercayai mengalami kecederaan ringan selepas aksi pemanas badan bertemu Syria, Selasa lepas.
Namun, apa yang membimbangkan adalah tempoh pemulihan Endrick dan Corbin-Ong.
Endrick yang juga pemain naturalisasi negara dipercayai mungkin tidak dapat diturunkan dalam ketiga-tiga perlawanan aksi kumpulan, namun barisan kejurulatihan optimis pemain itu sempat pulih untuk beraksi pada pusingan 16 terbaik sekiranya Malaysia berjaya layak.
Pemain berusia 29 tahun itu mengalami kecederaan semasa latihan pasukan di sini sebelum aksi bertemu Syria sekali gus menyaksikan beliau tidak diturunkan dalam perlawanan yang berkesudahan 2-2 itu.
Pada masa sama, Corbin-Ong berkemungkinan direhatkan pada aksi menentang Jordan bagi memastikan pemain berusia 32 tahun itu benar-benar cergas untuk menghadapi baki perlawanan saingan kumpulan masing-masing menentang Bahrain dan juara dua kali Korea Selatan.
Sementara itu, Davies pula dijangka tidak berdepan masalah untuk beraksi menentang skuad The Chivalrous Ones bimbingan pengendali kelahiran Morocco Hussein Ammouta.
Pemain pertahanan Sabah FC Daniel Ting merupakan pilihan utama menggantikan posisi Corbin-Ong sementara Brendan Gan, Mohd Afiq Fazail dan Natxo Insa antara muka yang mampu menggalas kekosongan ditinggalkan Endrick.
Malaysia akan bertemu Jordan di Stadium Al Janoub yang merupakan satu daripada stadium digunakan pada penganjuran Piala Dunia 2022 di sini.
Pasukan negara yang menamatkan penantian 42 tahun untuk layak secara merit ke Piala Asia selepas itu akan bertemu Bahrain pada 20 Jan di Stadium Jassim Bin Hamad dan menentang Korea Selatan dalam aksi terakhir saingan kumpulan di Stadium Al Janoub pada 25 Jan.
Skuad bimbingan Kim Pan Gon menyasarkan untuk mencipta sejarah layak ke pusingan 16 terbaik selepas Malaysia terkandas di peringkat kumpulan dalam tiga penampilan sebelum ini.
Ikuti berita dan info terkini tentang PIALA ASIA 2023 menerusi asiancup.bernama.com.
-- BERNAMA