DUA individu ditahan selepas menyebarkan gambar bedah siasat pemain bola sepak mendiang Emiliano Sala di akaun laman sosial Twitter mereka.

Menurut laporan portal berita BBC, seorang wanita berusia 48 tahun dan seorang lelaki berusia 62 tahun dari Wiltshire ditahan kerana disyaki menggunakan komputer makmal tanpa kebenaran.

Menurut polis, tiada bukti yang menunjukkan bilik mayat dipecah masuk.

"Tiada bukti yang menunjukkan bilik mayat dipecah masuk, dan tiada bukti yang menunjukkan petugas di bilik mayat tersebut terlibat," kata jurucakap polis.

Pada masa sama, polis turut menggesa semua pihak untuk tidak menyebarkan imej yang berkaitan bagi mengelakkan tekanan kepada keluarga Sala.

Wanita yang berasal dari Corsham, Wiltshire itu dibebaskan dengan jaminan bersyarat manakala lelaki dari Calne itu juga dibebaskan namun masih disiasat.

Pemain Liga Perdana Inggeris Sala, 28 tahun, meninggal dunia dalam nahas kapal terbang Januari lepas.

Bedah siasat dilakukan ke atasnya pada 7 Februari di Bilik Mayat Holly Tree Lodge yang terletak di Dorset.


Polis Dorest melancarkan siasatan pada 13 Februari selepas menyedari imej tersebut di Twitter.

Walaupun foto tersebut telah dipadamkan oleh pemilik akaun, namun ia telah tersebar luas di beberapa laman sosial lain.

Ketika kejadian, penyerang warga Argentina itu bersama juruterbang, David Ibbotson, 59 tahun, sedang menuju ke Cardiff dari Nantes selepas Sala melengkapkan perpindahannya ke Cardiff City yang bernilai 15 juta paun sterling (RM80 juta).

Penemuan bangkai pesawat Piper Malibu pada dasar laut di persisiran pantai Guernsey, dua minggu selepas ia dilaporkan hilang, dibuat oleh pasukan Mearns yang dilancarkan keluarga Sala dan dibiayai dana umum.

Ini selepas pihak berkuasa menghentikan operasi pencarian secara rasmi.