PARIS: China memulakan kempen di Sukan Olimpik Paris 2024 dengan meraih dua pingat emas pertama yang ditawarkan pada Sabtu.

Gandingan penembak Huang Yuting (19)-Sheng Lihao (17) menyumbang pingat emas pertama kontinjen China dalam acara 10 meter (m) air rifle berpasukan campuran, menyingkirkan cabaran Korea Selatan Keum Jihyeon-Park Hajun dengan kemenangan 16-12 di Pusat Menembak Chatearoux.

"Memenangi pingat emas adalah hasil usaha kami, namun nasib juga memainkan peranan. Kami akan jadi lebih baik dari sekarang. Saya akan terus memberi tumpuan kepada perkara yang perlu saya lakukan untuk acara individu pula," kata Sheng.

Penembak Kazakhstan Alexandra Le-Islam Satpayev-Islam Satpayev pula memenangi pingat gangsa selepas menewaskan gandingan Jerman, Anna Janssen-Maximilian Ulbrich.

China meneruskan dominasi di kolam terjun apabila meraih pingat emas kali keenam berturut-turut dalam acara 3m papan anjal seirama wanita menerusi gandingan Chang Yani-Chen Yiwen yang mengumpul 337.68 mata.

Sarah Bacon-Kassidy Cook dari Amerika Syarikat (AS) membawa pulang perak dengan 314.64 mata dan gangsa dimenangi gandingan Great Britain, Yasmin Harper-Scarlett Mew Jensen (302.28 mata).

-- BERNAMA