BRENTFORD 3 LIVERPOOL 3

Jurgen Klopp menjelaskan kunjungan sukar Liverpool ketika seri 3-3 di Brentford mendedahkan kekurangan aspek bertahan mereka sambil Mohamed Salah terlepas peluang berharga ketika menuju wisel penamat.

Pelawat mendahului 3-2 pada minit ke-77 ketika Salah memperoleh umpanan Sadio untuk berdepan penjaga gol Brentford, David Raya.

Tetapi penyerang Mesir itu, yang terlebih dahulu merakamkan gol ke-100 Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama The Reds, menyepak liar peluang keemasan tersebut.

Pemain dari Jerman, Vitaly Janelt -- yang beraksi di depan pengurus pasukan kebangsaan, Hansi Flick -- mencuri kesempatan dengan menjaringkan gol penyamaan lima minit kemudian.

"Perkara-perkara sebegini boleh berlaku. Ini satu perlawanan yang menarik. Mo biasanya mampu menghasilkan gol dalam situasi seperti itu tetapi tidak hari ini. Tiada apa yang boleh diulas mengenainya," kata Klopp.

"Saya sangat menyukai cara kami bertindak di bahagian depan. Kami sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol lagi. Tetapi jika kami menang 3-2 atau 4-3, kami masih bergelut untuk bertahan, begitulah keadaannya."

Tambahnya: "Saya rasa Mo akan melihatnya dengan cara yang sama -- dia ingin mencetak jaringan ke-101 hari ini."
Salah menyumbat gol ke-100 terpantas kelab untuk mengatasi rekod Roger Hunt dalam 152 penampilan.

Klopp memuji dua penggempur Brentford, Ivan Toney dan Bryan Mbeumo, dengan melabel mereka telah beraksi dengan sangat baik dan mencerminkan bahawa walaupun pasukannya mungkin patut menang, namun keputusan seperti ini tidak seharusnya dipertikaikan.

"Saya tidak pasti menikmati adalah perkataan yang tepat. Ia adalah satu kunjungan yang liar," katanya di Sky Sports.

"Pihak lawan berhak meledak tiga gol atas cara mereka bermain. Hari ini kami jelas gagal mengatasi hantaran jauh dengan tepat."