'Bapa pembangunan bola sepak Kedah' Kassim Saad, 78, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini malam tadi akibat angin ahmar.

Menurut anaknya Mohamad Izham, bapanya menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri Salmiah Othman, 72, dan anggota keluarga pada kira-kira 11.45 malam setelah 11 hari dimasukkan ke HSB.


Makluman pemergian Allahyarham Kassim Saad oleh Mohamad Izham di akaun Facebooknya. -FB Mohd Izham Kasim
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, seorang anak dan dua cucu.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kodiang, Jitra pada 11.30 pagi tadi.

Cikgu Kassim memakai 'track top' khas hadiah daripada bekas pelajar KSAH ketika kunjungan ke kediamannya di Taman Golf. -Alumni KSAH8387
Sementara itu, Mohamad Izham, 40, berkata bapanya banyak menyumbang dalam mencungkil dan membimbing bakat baharu dan pelatih sukan bola sepak negeri ini.

"Antara nama terkenal yang pernah mendapat sentuhannya ialah bekas ketua jurulatih Kedah Mohd Azrai Khor Abdullah, Radzi Mat Din, Azmi Mahmud, Kamal Idris Ali, Fadrizuan Che Hamid dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli.

"Allahyarham juga merupakan bekas pengetua Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH), Alor Setar pada 1983 sehingga 1988 dan pada masa sama mengambil peluang tersebut menghimpunkan pelajar yang berpotensi dan berbakat untuk Kedah," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Cikgu Kassim Saad ketika menjadi Pengetua Kolej Sultan Abdul Hamid pada tahun 1983-88. -Alumni KSAH8387
Mohamad Izham berkata, rumah keluarganya di Taman Golf di sini tidak ubah seperti akademi bola sepak apabila ramai pelajar yang dijadikan anak angkat oleh arwah bapanya untuk dibimbing sebagai pemain.

"Minat arwah terhadap bola sepak tidak pernah pudar dan baru-baru ini arwah sempat mengucapkan tahniah kepada pasukan bola sepak Kedah yang menjuarai Piala Malaysia walaupun tidak pernah memegang sebarang jawatan dalam mana-mana persatuan bola sepak di peringkat negeri," katanya.

Sementara itu, Mohd Azrai menyifatkan Allahyarham sebagai bapa pembangunan bola sepak Kedah yang tidak didendangkan.

"Jasa beliau dalam pembangunan bola sepak Kedah tidak ternilai harganya kerana ramai pemain Kedah yang berbakat mendapat didikan dan dorongan daripada arwah hingga menjadikan Kedah pasukan yang disegani," katanya. -- BERNAMA