Beliau berkata akibat melakukan kesilapan kecil, Harimau Kumbang terlepas peluang memperoleh tiga mata berharga yang amat diperlukan ketika ini, bagi menyelamatkan kedudukan Penang FC daripada terus dipintas pasukan lain.
"Apabila kita kehilangan dua mata, satu kerugian yang bagi saya cukup besar kerana selepas ini kita akan bertemu dengan KL City (29 Sept), seterusnya perlawanan terakhir pusingan pertama menentang Pahang di tempat sendiri (pada 20 Okt).
"Jadi kita tidak boleh kehilangan mata lagi dalam dua perlawanan terakhir ini, kerana jika tidak kita akan terus ketinggalan untuk berada sekurang-kurangnya dalam kelompok enam, tujuh pasukan terbaik dalam liga. Ketika ini pasukan Perak yang sebelum ini berada di bawah juga telah memintas Penang FC," katanya kepada pemberita selepas perlawanan di Stadium Bandaraya di sini, malam tadi.
Ketiadaan pemain import Rafael Vitor dan Muhamad Adib Ra'op di bahagian pertahanan akibat masalah kecederaan turut merencatkan sedikit permainan, namun Akmal Rizal memuji permainan Aikmal Roslan dan Aqil Irfanuddin pada posisi tersebut, kerana telah melaksanakan tanggungjawab sehabis baik mempertahankan benteng pasukan daripada dirobek pasukan lawan.
Mengenai prestasi Dylan Wenzel Halls yang baru diikat Penang FC bagi musim 2024/2025, Akmal Rizal berkata pemain berasal dari Australia itu telah menunjukkan prestasi baik meskipun baru dua kali beraksi, malah kejayaannya mencipta satu gol malam tadi merupakan motivasi terbaik kepada diri beliau dan pemain lain.
Sementara itu, Ketua Jurulatih NSFC K. Nanthakumar gembira dengan peningkatan prestasi ditunjukkan pemain berbanding ketika pasukan itu menentang Perak di laman sendiri pada 14 Sept.
Beliau berkata pasukan juga kini sedang menunggu kehadiran seorang lagi pemain import baharu dari Thailand, yang dijangka tiba hari ini bagi memperkuatkan bahagian serangan.
"Pemain tersebut bermain di liga Thailand, namanya Perez. Kita dapat dia pun minit-minit terakhir dan akan sertai latihan bersama pasukan pada Selasa (esok)," katanya.
Beliau berkata penampilan sulung Sebastian Avanzni selaku pemain import baharu, turut memperkuatkan posisi tengah NSFC, malah jaringan gol penyamaan beliau pada minit akhir menyuntik semangat pemain lain sekali gus membuktikan bahawa pemain kelahiran Itali dan pernah beraksi bersama KL City itu, mampu membawa perubahan kepada pasukan.
Avanzini dalam pada itu bangga dengan kerjasama berpasukan serta kerja keras ditunjukkan setiap pemain, hingga membolehkan mereka mendapat dua gol di tempat lawan dan selepas ini fokus mereka untuk perlawanan bertemu Kelantan pada Sabtu.
"Perlawanan akan datang sentiasa menjadi suatu yang penting sekali... kami perlu fokus pada Kelantan Sabtu depan dan ia paling penting bagi kami sekarang. Saya teruja untuk beraksi cemerlang dalam perlawanan menentang Kelantan," katanya.
-- BERNAMA