APABILA anda memikirkan pemain bola sepak terkaya di dunia, pemikiran anda akan segera terarah kepada bintang terkemuka seperti Cristiano Ronaldo, Lionel Messi dan Neymar .

Tetapi siapa sangka senarai pemain dalam kalangan puluhan kelab bolasepak terkemuka dunia itu terselit nama individu berasal dari keluarga Diraja Brunei.

Malah, rakyat Brunei kini boleh berbangga apabila anak saudara Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, Faiq Bolkiah, 19 tahun kini muncul selaku pemain di kelab Liga Perdana Inggeris, Leicester City.


Faiq, yang merupakan salah seorang pewaris kekayaan keluarga Diraja Brunei bernilai 15 bilion pound sterling.

Pemain sayap berbakat Foxes itu telah bermain di England selama beberapa musim, memulakan kariernya di AFC Newbury sebagai pemain muda.

Pada tahun 2009, Southampton memilih Faiq Bolkiah menyertai akademi mereka berikutan bakat yang dimiliki.

Walaupun tidak diberikan kontrak, Arsenal juga dikatakan pernah menawarkan beliau bermain bersama kelab itu pada 2013.

Faiq bersama The Gunners dalam saingan Piala Lion City 2013 dan juga menjaringkan gol dalam saingan itu.

Selepas itu Chelsea menawarkan pemain itu dengan kontrak dua tahun sebelum memutuskan untuk menyertai Leicester City dengan kontrak tiga tahun.

Walaupun dilahirkan di Los Angeles, Amerika Syarikat, Faiq memilih untuk bermain dengan pasukan kebangsaan Brunei selain telah mewakili negaranya sembilan kali dengan rekod jaringan satu gol.

Dalam satu temubual, Faiq menjelaskan beliau mula bermain bolasepak sejak kecil dan sentiasa gembira pergi ke padang selain bola berada di kaki.

"Saya bersyukur apabila memiliki keluarga yang sangat positif dan sentiasa menyokong impian saya menjadi seorang pemain bolasepak profesional," katanya.