Berita itu dikongsikan pihak pengurusan Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) menerusi laman sosial Facebook rasmi TFC petang semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB Mohd Sabri Abas berkata Akhyar yang sebelum ini merupakan pemain pinjaman daripada Johor Darul Ta'zim (JDT) telah memeterai kontrak sebagai pemain tetap bagi tempoh sehingga musim 2026/2027.
Beliau berkata perkara tersebut telah mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail yang merupakan pemilik kelab JDT.
"Kehadiran Akhyar telah memberi impak besar dalam meningkatkan kualiti pasukan TFC musim ini. Oleh itu, TFC telah membuat permohonan secara rasmi untuk menandatangani beliau secara tetap," katanya.
Dengan pengumuman itu, pemain berusia 26 tahun berkenaan boleh beraksi menentang JDT pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Jumaat ini.
-- BERNAMA