KUALA LUMPUR: Ketua Jurulatih skuad Kebangsaan Bawah 23 (B-23) Brad Maloney berharap ketumpulan gerakan penyudah pasukan itu dapat diatasi, apabila mereka sekali lagi bertemu Laos dalam perlawanan terakhir Kumpulan B Kejohanan Bawah 23 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF), esok.

Dalam perlawanan menentukan hidup atau mati itu, Maloney menggesa anak buahnya untuk lebih efisien di hadapan pintu gol, dan menggunakan kesemua peluang untuk menjaringkan gol.

Beliau yang mempertahankan corak taktikal pasukannya itu selepas kekalahan mengejut kepada Laos berkata ketajaman di hadapan pintu gol amat penting dalam memastikan pasukan dapat mencatatkan keputusan positif, dan seterusnya layak ke pusingan selanjutnya dalam kejohanan itu.

"Jika kita melihat kepada stastistik perlawanan itu, sepanjang 90 minit, kita menguasai kira-kira 67 peratus, kita mempunyai lebih banyak sepakan tepat daripada lawan, memenangi lebih banyak gerakan individu daripada lawan.

"Pada kita adalah penting untuk menukarkan penguasaan itu kepada jaringan gol, sepakan tepat kepada jaringan gol, kita amat perlukan lebih banyak gerakan penyudah di hadapan pintu gol dalam usaha mendapatkan keputusan dikehendaki," katanya dalam sidang media secara maya dari Phnom Penh, Kemboja, hari ini.

Pada perlawanaan pembukaan mereka di Stadium Prince di Phnom Penh itu, Malaysia dikejutkan dengan kekalahan 1-2 kepada Laos dengan pemain tangah A. Selvan menjaringkan gol tunggal negara, manakala Bounphachan Bounkong dan Phetdavanh Sangvilay berjaya memastikan tiga mata untuk mereka.

Keputusan itu menyebabkan anak buah Maloney, perlu menang dengan kelebihan dua gol pada pertemuan kedua mereka di stadium yang sama esok, bagi memastikan layak ke separuh akhir sebagai juara kumpulan.

Bagaimanapun Maloney masih percaya anak buahnya mempunyai kelebihan untuk mengatasi Laos selepas berjaya menunjukkan permainan secara keseluruhan yang baik walaupun mereka tewas.

"Pada saya kami menguasai sebahagian besar kawasan, namun suatu yang tidak dapat kita kuasai ialah jaringan. Jadi banyak perkara yang menjadi untuk kami untuk masa yang lama, jadi kami akan terus lakukannya dan berharap dapat perbaiki lagi di hadapan pintu gol," katanya.

Perlawanan Kumpulan B hanya melibatkan Malaysia dan Laos selepas Myanmar dan Indonesia menarik diri daripada kejohanan itu, akibat jangkitan COVID-19 dalam pasukan mereka.

Hanya tiga pemenang kumpulan dan pasukan tempat kedua terbaik akan layak ke separuh akhir pada 24 Feb dan perlawanan akhir dijadualkan pada 26 Feb.

-- BERNAMA