"Saya redha dengan dugaan yang datang dan akan tetap memikul tangggungjawab sebagai Presiden UMNO."

Itu ketegasan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam mempertahankan kedudukanya sebagai pemimpin parti pembangkang.

“Bila keadaan ini berlaku dan ada cadangan untuk saya mengambil cuti, dalam erti kata lain untuk berundur, saya tidak menganggap ia satu option (pilihan).

“Mengalah bukan satu pilihan bagi saya dan saya mengambil keputusan untuk meneruskan tugas sebagai Presiden UMNO bersama-sama dengan timbalan presiden, naib presiden, setiausaha agung, bendahari dan juga ketua penerangan serta kepimpinan sayap,” katanya pada sidang media pertemuan khas bersama kepimpinan Umno Terengganu, di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, jawatan yang disandangnya adalah kehendak ahli UMNO yang dizahirkan melalui Perhimpunan Agung.

BACA: Pemuda UMNO gesa Zahid cuti seketika

“Saya harap keadilan di dalam penentuan hala tuju politik kami dapat diterjemahkan dalam bentuk kesatupaduan di kalangan kita dan mandat yang akan saya lakukan biarlah hingga tamat penggal.

“Biar Perhimpunan Agung yang menentukan kedudukan seseorang pemegang jawatan di dalam parti, bukan disebabkan oleh cadangan atau lain-lain pandangan yang tidak mengikut perlembagaan dan peraturan parti,” katanya.


Pergerakan Pemuda UMNO pada Khamis menggesa supaya Ahmad Zahid mempertimbangkan untuk bercuti seketika daripada menjalankan tugas sebagai presiden parti sehingga kesnya selesai.

Ketuanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan itu dibuat supaya Ahmad Zahid dapat memberi tumpuan kepada 45 pertuduhan yang dihadapinya di mahkamah.