KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengambil kira isu kesihatan, ekonomi dan anak muda dengan lebih mendalam dan serius, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Jelasnya, pengharapan anak muda perlu dinilai dan diteliti sebaiknya walaupun pandangan itu mungkin panas dengan menegur kerajaan secara terbuka.

"Kami anak muda ingin meneruskan kelangsungan hidup, kita semua bercakap bagi mewakili rakan-rakan untuk keluar daripada krisis yang ada pada hari ini.

"Sebab itu kepada kerajaan, jangan hanya sekadar memberi alasan, memberi pelbagai sebab untuk berdalih dan tidak mahu lakukan sesuatu itu dengan betul-betul berkomitmen," katanya semasa ucapan penggulungan dan penangguhan Kongres Nasional Tahunan AMK 2020 secara maya pada Sabtu.

BACA: Cadangan pilih selain Anwar sebagai PM hanya usaha pecah belah Pakatan Harapan - AMK

BACA: 
Wanita PKR sasar tanding 9 lagi kerusi Parlimen pada PRU15

Dalam pada itu jelasnya, pendekatan anak muda sentiasa keras dan sentiasa menyentuh soal ideologi serta prinsip.

Ujarnya, kesedaran politik perlu bermula lebih awal dengan usul menurunkan had umur AMK kepada 16 tahun.

"Saya tahu benda ini ada cabarannya, ada yang disebut bahawa had yang ditetapkan 18 tahun itu berdasarkan RoS," tegasnya.

Katanya, anak muda juga perlu dilibatkan lebih banyak peranan terutama dalam isu Undi18 yang hangat diperkatakan kini.

Terdahulu, semasa ucapan dasar, Akmal melihat sebarang cadangan menamakan inidividu lain selain Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri, disifatkan sebagai sekadar usaha memecahbelahkan Pakatan Harapan.

Tegasnya, tindakan mencurigakan umpama 'sebelah tangan bersalam dan sebelah tangan lagi memegang pisau' mestilah dijauhkan dalam gabungan itu.