MUAR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu terus ‘bersuara’ terutamanya melibatkan isu-isu 3R yang menyentuh agama, bangsa dan institusi diraja walaupun sudah sembilan kali disoal siasat polis berkenaan isu itu.

Menurutnya, larangan untuk bercakap isu 3R sebenarnya tidak mengikut lunas undang-undang negara kerana tidak dibawa ke kabinet, dipersetujui oleh Dewan Rakyat dan ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Dakwaan tak boleh cakap 3R ini tidak ikut undang-undang negara kononnya diisytihar (oleh) Perdana Menteri. Saya baca dalam Perlembagaan apakah Perdana Menteri boleh buat undang-undang, tak ada.

“Yang boleh buat undang-undang Dewan Rakyat. Kalau dia kata kita tak boleh cakap isu 3R, kena bawa ke Dewan Rakyat untuk dibahas. Kalau Dewan Rakyat setuju, Dewan Negara setuju, Agong tandatangan, baru jadi undang-undang.

“Dengan pengisytiharan Perdana Menteri sahaja, tak boleh cakap 3R, ini tidak ada ikut peraturan dalam Perlembagaan kita," katanya ketika Ceramah Mega Perikatan Nasional (PN) di Simpang Jeram pada Ahad.

Hadir sama, Pengerusi PN yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin; Presiden Parti Gerakan (Gerakan), Datuk Dominic Lau dan calon PN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Renggam, Dr Mohd Mazri Yahya.

Dr Mahathir sekali lagi menegaskan, larangan berkenaan tidak dianggap sebagai undang-undang.

"Saya nak cakap pasal bangsa saya, agama saya, raja saya..itu hak saya.

"Kita tak boleh terima undang-undang buatan Perdana Menteri. Siapa dia?,” katanya.

Tambahnya, jika apa yang dikatakannya semasa ceramah itu merupakan kesalahan, beliau bersedia untuk didakwa di mahkamah.

Malah katanya, setakat ini sudah sembilan kali beliau disoal siasat polis berkenaan isu tersebut.

"Nak siasat, siasatlah, dah sembilan kali saya dipanggil, mungkin lepas ini 10, 11 kali lagi, tapi tak apa, kita akan kira berapa kali dipanggil.

“Kalau apa yang saya cakap tu salah, boleh charge saya di mahkamah tapi ada undang-undang boleh tangkap saya dan saya tak payah lagi pergi mahkamah.

“Tapi ini (soal) bangsa saya, ini negara saya, ini negara saya, saya perlu pertahankan,” katanya.

Sementara itu Dr Mahathir berkata, beliau menyedari segala percakapannya akan dicatat oleh pihak-pihak tertentu.

Malah katanya, ada kemungkinan ada kemungkinan dirinya akan dipanggil lagi untuk memberikan keterangan berhubung apa yang diperkatakannya.

“Kalau tanya, kenapa cakap macam tu, jawapan saya senang sahaja...kalau salah, dakwa di mahkamah, lepas itu bolehlah saya jawab di mahkamah.

“Tapi, saya nak cakap juga untuk bangsa saya kerana saya tak nak melihat bangsa saya hilang negara,” katanya. - Sinar Harian