RESTORAN Saloma Kuala Lumpur memperkenalkan beberapa inisiatif termasuk menyediakan tabung khas untuk membantu mengurangkan beban golongan seni tanah air yang memerlukan.

Presiden Kumpulan Saloma Kuala Lumpur, Rosmariza Che Umar berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) bagi merealisasikan usaha berkenaan.

"Antara perancangan yang dibuat termasuk menyediakan sumbangan untuk mengisi tabung khas bagi membantu insan-insan seni yang berhadapan kesempitan hidup atau menghidapi penyakit.

"Tabung khas itu juga akan dibuka kepada pengunjung Saloma Kuala Lumpur supaya mereka berpeluang untuk turut serta menghulurkan derma," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Rosmariza menjelaskan, inisiatif tersebut merupakan penghormatan kepada legenda seni dan budaya agar terus diingati oleh generasi akan datang selain dapat meneruskan kehidupan melalui usaha menyantuni golongan itu.

Malah menurutnya, majlis doa selamat 'Malam Naungan Rahmat, Limpahan Berkat' yang diadakan pada Sabtu lalu turut menjadi platform untuk membantu beberapa artis veteran seperti Zaiton Sameon, Isma Aliff, Sofia Ibrahim, Mak Jah, Shuib Freedom serta anak yatim dan pelajar tahfiz.

"Majlis ini diadakan bukan sahaja untuk memohon rahmat dan keberkatan tetapi menjadi platform dalam membantu artis veteran yang telah banyak berjasa kepada industri seni tanah air.

"Restoran Saloma Kuala Lumpur akan menyemarakkan semangat setiakawan yang menjadi pegangan artis-artis lama seperti Puan Sri Saloma dan Tan Sri P Ramlee," ujarnya.

Restoran Saloma Kuala Lumpur yang terletak di ibu negara menampilkan gabungan seni kulinari dan budaya warisan Melayu diinspirasikan daripada keunggulan seni P Ramlee dan Saloma. -- Sinar Harian