PERBINCANGAN terbuka mengenai jawatan Perdana Menteri daripada UMNO yang lenyap seketika sebelum ini kembali diperkatakan baru-baru ini.

Ia kembali hangat selepas Naib Presiden MIC, Datuk C Sivarraajh menggesa UMNO menamakan calon Perdana Menteri untuk Barisan Nasional (BN) sekiranya mereka memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Tatkala timbul beberapa nama yang diusulkan, Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Ahmad Zaini Japar berkata tidak mustahil Datuk Seri Najib Tun Razak dipilih semula untuk menjawat jawatan tersebut.

“Saya percaya Najib ada pengaruh 70 peratus (dalam UMNO), Najib sudah lalui semuanya, kalau kita nak kata orang lain, saya tak nampak siapa lagi kerana dia ada sifat sebagai pemimpin,” dakwanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

BACA: Belum masanya UMNO namakan calon Perdana Menteri - Razali Ibrahim

Beliau juga optimis Najib mempunyai kebolehan dan kemampuan untuk menerajui negara berdasarkan rekod beliau memimpin negara sebelum ini.

“Najib mempunyai ilmu dan pengalaman dan telah melalui segala proses dalam mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada UMNO.

“Beliau tidak meninggalkan perjuangan (parti). Persepsi orang (kepada beliau) kerana ada pihak yang melontarkan (tuduhan) tidak baik dan ada orang ikut,” ujarnya.

BACA: PAU2020: Jawatan Perdana Menteri milik UMNO, BN - Tok Mat

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran sebelum ini juga mengeluarkan kenyataan yang senada dengan Sivarraajh.

Beliau berkata, antara masalah yang perlu diselesaikan jika benar BN ingin bertarung sendiri dalam PRU15 kelak adalah memutuskan siapa yang akan menjadi calon Perdana Menteri.

Astro AWANI pada 31 Mac lepas melaporkan, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Razali Ibrahim berkata, sekarang bukan masa yang sesuai untuk UMNO menamakan calon Perdana Menterinya.


Belum masanya UMNO namakan calon Perdana Menteri - Razali Ibrahim

Ini kerana, katanya, tarikh PRU15 masih belum diketahui, malah UMNO juga belum menjalankan pemilihan parti yang bakal menyaksikan perubahan kepimpinannya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah - juga daripada UMNO - turut menyuarakan hasrat mahu menjadi Perdana Menteri.

Meskipun hasrat itu mungkin tidak mendapat sokongan partinya namun bekas Menteri Kewangan berusia 84 tahun itu berpendapat dirinya memiliki semua yang diperlukan untuk memegang jawatan tersebut.


Ku Li dakwa dirinya layak menjadi PM

Memetik laporan The Vibes, Tengku Razaleigh yang mesra disapa Ku Li itu juga mendakwa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak layak untuk menjawat jawatan berkenaan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan juga pernah bergurau dengan berkata beliau merupakan calon Perdana Menteri yang paling sesuai bagi UMNO sekiranya parti tersebut menang dalam PRU15.

“Anda sedang bercakap dengan dia sekarang,” kata Mohamad berseloroh pada sidang media selepas ucap utama beliau di Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) baru-baru ini.

BACA: PAU2020: Siapa calon PM dari UMNO? Sayalah - Tok Mat berseloroh