KUALA LUMPUR: Baru beberapa minit Dewan Rakyat mula bersidang, kekecohan timbul hari ini apabila semua Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dari dewan.

Mereka berbuat demikian selepas tidak berpuas hati usul berkaitan pengeluaran bersasar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ditolak dan isu tersebut tidak dapat dibahaskan pagi ini.

Kekecohan bermula apabila Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) bangkit menyuarakan isu tersebut kepada Timbalan Speaker Alice Lau Kiong.

“Usul tersebut ditolak dengan alasan bahawasanya Timbalan Menteri Kewangan dan Menteri Kewangan telah menjelaskan hal berkenaan pengeluaran bersasar KWSP ini.

“Tetapi saya dapat banyak pandangan dan keresahan daripada rakyat, bahawa penjelasan dan ulasan itu tidak memuaskan mereka.

“Jadi, izinkanlah untuk kami bahaskan perkara ini hari ini,” katanya.

Alice Lau kemudian membalas: “Keputusan telah dibuat Yang Dipertua Dewan dan keputusan Speaker adalah muktamad.

“Kalau tidak puas hati, sila buat usul lagi,” katanya.

Ahli Parlimen pembangkang keluar dewan tanda protes isu KWSP


Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin kemudian bangun, menegaskan isu pengeluaran KWSP itu adalah isu rakyat yang harus dibahaskan segera.

BACA: 'Mereka nak guna sekarang' - Ahli Parlimen terus gesa kerajaan timbang pengeluaran KWSP 

“Sudah ramai dalam kalangan rakyat mahu perkara ini dibawa dan dibahas ke Parlimen, sehingga ada yang sanggup berjalan kaki dari Johor ke Istana Negara sampai hari ini.

“Adakah kerajaan tak sedar bahawa rakyat di bawah sana menunggu keputusan dibuat pada hari ini? Sebab itu kami mahu perkara ini dibenarkan dan dibahas untuk hari ini,” tegasnya.

“Saya sudah kata, keputusan Speaker adalah muktamad. Kalau tak puas hati, boleh jumpa Speaker nanti.

“Saya tak boleh buat keputusan sekarang kerana itu adalah keputusan Speaker,” jawab Alice Lau.

BACA: PN gesa kerajaan pertimbang pengeluaran KWSP bersasar untuk golongan memerlukan 

“Tuan Yang Dipertua, kalau begitu caranya, kami ingat kami di sini mahu juga perkara ini dibahaskan.

“Kalau tidak mahu dibahaskan, kita boleh keluar untuk menunjukkan kita protes,” balas Hamzah.

“Silakan,” balas Alice Lau pula.