Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan dakwaan kajian semula persempadanan yang dilakukan suruhanjaya itu bertujuan demi kepentingan pihak tertentu.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah, berkata SPR sudah menjalankan peranan dan tanggungjawab sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, kuasa untuk meluluskan syor itu terletak di bawah bidang kuasa Dewan Rakyat dan setiap ahli parlimen boleh membahaskannya ketika perbentangan di Dewan berkenaan kelak.

"SPR menyarankan mana-mana pihak berkelayakan di bawah perundangan dalam membuat sebarang bantahan atau representasi harus mengambil peluang dalam tempoh ditetapkan untuk turut serta, dan bukannya membuat tuduhan melulu terhadap badan ini.

"SPR amat mengalu-alukan setiap bantahan dan representasi, namun ia perlu dikemukakan secara rasmi mengikut saluran dan perundangan ditetapkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Ahad, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata persempadanan semula itu hanya mewujudkan perpecahan kaum.

Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong turut menyatakan persempadanan semula itu akan menjejaskan peluang parti Gerakan menang di kawasan sasaran.

SPR mempamerkan syor kajian semula persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Semenanjung dan Sabah bermula 15 September lalu hingga 14 Oktober ini.

Kajian dilaksanakan mengikut Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lalu.