Sokongan samar PAS di Selangor kepada DAP dan PKR membuktikan perpecahan dalaman Pakatan Rakyat (PR) kini dilihat semakin kritikal seperti retak menanti belah.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, PR juga secara keseluruhannya kini dinasihat perlu menyelesaikan masalah dalaman sendiri dan menghentikan sebarang cubaan menjatuhkan UMNO.

"PAS sudah semakin jauh daripada PR. Mereka tidak lagi memberi sokongan terbuka atau mahu mempertahankan PR.

"PR semakin kritikal, hanya menanti masa untuk bercerai, nampak kini seolah-olah tidak ada cara untuk diselesaikan lagi," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.


Khairul Azwan mengulas situasi semasa PR, terutama sokongan PAS di Selangor yang dikatakan semakin samar.

BACA: 'Azmin, pilih di antara PAS dan DAP... atau bubar saja DUN Selangor' - Mahfuz

Sebelum ini, bekas Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar mencadangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dibubar sekiranya isu pentadbiran negeri itu gagal diselesaikan.

Mahfuz juga menggesa Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali supaya memilih di antara PAS atau DAP sebagai rakan dalam pentadbirannya itu.

BACA: Tidak benar DUN Selangor akan dibubar - Azmin

Azmin, bagaimanapun, dilaporkan menjelaskan ura-ura bahawa DUN Selangor akan dibubarkan adalah tidak benar dan tidak berasas selain menolak dakwaan bahawa perkara itu berkemungkinan berlaku.


Dalam pada itu, ketika mengulas isu papan tanda UMNO di hadapan bangunan parti yang dirobohkan kerajaan Pulau Pinang, Khairul Azwan menegaskan ia tindakan selektif dan biadab.


"Apa motif Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan orang-orangnya hendak merobohkan struktur nama itu serta-merta. Apa salah jika bagi notis dulu. Ia merupakan tindakan yang selektif dan biadab.

"Tindakan Guan Eng dan Bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu adalah sama. kedua-duanya cuba mengalihkan perhatian daripada isu yang ditanggung PR," ujarnya.


BACA: Kumpulan pro-ulama menang pemilihan PAS dengan bantuan UMNO - Mat Sabu

Terdahulu, laporan sebuah portal memberitahu Mohamad Sabu mendakwa kumpulan pro-ulama PAS mendapat 'bantuan' UMNO untuk memenangi pemilihan pimpinan parti Islam itu baru-baru ini.

Katanya, media yang dikuasai UMNO dikatakan bertungkus lumus berkempen untuk kepimpinan barisan ulama.