Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menggesa Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman meletak jawatan.

Dalam satu sidang media khas di kediamannya di sini hari ini, Shafie mendakwa parti Warisan dan gabungan parti telah memperolehi majoriti kerusi sejumlah 35 kerusi, dengan tambahan enam lagi kerusi.

Jika ini menjadi kenyataan, Shafie bakal menjadi Ketua Menteri Sabah ke-15 dalam masa kurang 24 jam.

Musa menyandang Ketua Menteri sejak tahun 2003.

Perkembangan situasi politik di negeri Sabah pasca PRU14 dilihat semakin menarik dengan laporan terbaharu mengatakan beberapa ADUN Barisan Nasional hadir berjumpa dengan Shafie semalam.

Semalam, Pemangku Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menemui Mohd Shafie di kediamannya di sini sebelum mengadakan sidang media mengumumkan keputusan UPKO keluar daripada BN dan membentuk kerajaan campuran dengan Warisan.

BACA: Dua ADUN BN jumpa Mohd Shafie secara tertutup

Pada PRU14 Rabu lalu, UPKO menang lima kerusi DUN dan satu kawasan Parlimen.


Bagaimanapun, kelima-lima wakil DUN parti itu -- Ewon Benedict (Kadamaian), Datuk Abidin Mandakir (Paginatan), Datuk Bobbey Ah Fan Bin Suan (Nabawan), Datuk Masiung Banah (Kuamut) dan Datuk Limus Juri (Kuala Penyu) dilapor tidak akan menyertai pucuk pimpinan UPKO untuk membentuk kerajaan dengan Warisan.

Semalam, Parti Solidariti Tanah Airku (Solidariti) menyatakan pendirian untuk bersama dengan BN menjadikan jumlah DUN parti gabungan itu bertambah kepada 31 kerusi.

Musa yang Pengerusi BN malam tadi mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri sekali gus menubuhkan kerajaan negeri campuran baharu dengan Solidariti.

Keputusan PRU14 menyaksikan BN Sabah memperoleh 29 kerusi, Parti Warisan (21), DAP (6) dan PKR (2).