PARIT: Cadangan menyegerakan pemilihan UMNO dikhuatiri akan menjejaskan solidariti dalam kalangan ahli sebelum pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Saarani Mohamad berkata, pada kebiasaannya, pemilihan akan turut memberi kesan terhadap sokongan kepada parti dalam menghadapi PRU15.

Namun, katanya, Majlis Tertinggi (MT) mempunyai kuasa sama ada untuk mengadakan pemilihan parti pada tahun ini atau menangguhkannya kerana kedua-dua pilihan ada kesan baik dan buruknya.

"Berdasarkan pengalaman dulu, biasanya kalau diadakan pilihan raya selepas pemilihan, sedikit sebanyak kesan pemilihan itu ada.

"Kerana, orang yang kalah barangkali merajuk. Itu memberi (kesan kepada) solidariti parti.

"Kalau pemilihan UMNO dibuat selepas pilihan raya, bermakna situasi mungkin berbeza. Kerana, kalau nak diambil calon-calon pilihan raya, mungkin akan datang daripada pemegang jawatan sekarang.

"Kalau dibuat pemilihan dahulu, lepas itu baru diadakan pilihan raya, maknanya calon-calon datang daripada pemimpin baru," katanya, yang juga Menteri Besar Perak, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Moh Ngopi bersempena Program Menteri Besar Bersama Rakyat (MESRA) di Kampung Selat Layang–Layang Kiri dekat sini.

BACA: Pemilihan UMNO sebelum PRU15 boleh diberi pertimbangan serius - Khairul Shahril

BACA: Pemilihan UMNO sebelum PRU15 boleh cetus keretakan, pecah-belah parti - Najib

Sebelum ini, Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin dilaporkan meminta UMNO menyegerakan pemilihan parti sebelum PRU15 sekiranya ia mahu menyelesaikan kemelut dalaman yang membelenggu parti sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, cadangan untuk menyegerakan pemilihan parti yang disuarakan Khairy bukanlah suatu isu yang besar.

Sebaliknya, jelas beliau, sebarang keputusan parti harus dibuat berlandaskan kepada Perlembagaan UMNO, selain MT mempunyai kuasa menangguhkan pemilihan sehingga tempoh 18 bulan.