JOHOR BAHRU: Polis menahan tujuh individu termasuk pasangan suami isteri dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM10 juta dalam tiga serbuan di sekitar bandar raya ini pada 12 Ogos lepas.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata kesemua suspek terdiri daripada lima lelaki tempatan dan dua wanita warga asing berumur lingkungan 22 hingga 38 tahun itu ditahan antara 12.30 tengah hari dan 2 petang.

"Modus operandi sindiket edar dadah yang aktif beroperasi sejak Mei tahun ini ialah dengan menjadikan rumah berpagar dan berpengawal sebagai tempat pemprosesan serta pembungkusan dadah jenis serbuk ekstasi untuk pasaran tempatan.

"Dalam operasi ini, sebanyak 59,627 gram serbuk ekstasi, 93.4 gram ketamin, 263 biji pil ekstasi, 380 biji pil erimin 5 dan 41 gram ganja dirampas dengan nilai rampasan dadah berjumlah RM10,001,122," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Beliau berkata polis turut menyita pelbagai barangan antaranya empat kereta, sebuah motosikal, pelbagai barangan kemas serta wang tunai mata wang tempatan dan asing dengan nilai RM235,257.

"Keseluruhan rampasan melibatkan dadah dan sitaan bernilai RM10.23 juta. Ini merupakan jumlah rampasan dadah kedua tertinggi di Johor, tahun ini," katanya sambil menambah jika dadah itu dibiarkan di pasaran ia boleh digunakan seramai 199,644 penagih.

Kumar berkata semakan mendapati tiga suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala ujian urin menunjukkan enam daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine, ketamin dan benzodiazepine.

Beliau berkata tempoh reman kesemua suspek kini disambung hingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau turut memaklumkan polis kini giat memburu dalang sindiket itu yang dikenal pasti sebagai Lo Show Shang, 36, beralamat di Taman Perling di sini dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi pihak polis untuk membantu siasatan.

Sementara itu, Kumar berkata polis Johor telah merampas 3.45 tan dadah bernilai RM52.09 juta susulan penahanan 16,241 suspek pelbagai kesalahan dadah sejak 1 Jan hingga Sabtu lepas.

-- BERNAMA