DUNGUN: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) hari ini menyerahkan tiga projek siap kepada Kerajaan Negeri Terengganu bernilai RM141.27 juta.

Timbalan Menteri berkenaan Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata projek terlibat iaitu Projek Tebatan Banjir Guntung Luar, Setiu dan Gong Kiat, Kuala Terengganu serta Projek Pemuliharaan Muara Sungai Paka di sini dilaksanakan PETRA melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

"Projek ini menandakan keyakinan atau kemampuan kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan projek yang memberi manfaat kepada orang awam.

"Kita dapati selepas projek tebatan banjir siap pada 2022, masalah banjir di kawasan terbabit berjaya diatasi sekali gus memberi keselesaan dan perlindungan kepada hampir 3,500 penduduk setempat serta aktiviti ekonomi dan sosial penduduk tidak lagi terjejas," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyerahan Projek Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Terengganu yang diwakili Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri Mohd Zawawi Ismail di sini.

Projek pemuliharaan muara Sungai Paka yang siap dibina pada tahun lepas pula katanya, bukan sahaja menyelesaikan masalah 1,000 penduduk kawasan perkampungan di tebing muara sungai berkenaan yang berdepan masalah hakisan dan banjir pantai, malah turut melindungi sekurang-kurangnya 110 bot nelayan akibat muara cetek serta pukulan ombak.

Akmal Nasrullah berkata PETRA kini juga mempunyai 23 projek yang sedang berjalan di Terengganu di bawah JPS dengan kos keseluruhan RM2.4 bilion dan ia memerlukan kerjasama erat kerajaan negeri.

Beliau berkata ia merangkumi 18 projek sambungan dan lima projek baharu melibatkan skop berkaitan tebatan banjir, pemuliharaan hakisan pantai dan tebing sungai serta sistem saliran.

"Satu daripadanya ialah infrastruktur Sabo (Empangan Sabo) di Hulu Terengganu. Walaupun kawasan hulu ini tiada pantai, namun pernah berlaku banjir di sana termasuk ancaman banjir puing masih ada.

"Maka, sebab itu kementerian telah luluskan untuk tahun ini yang kini berada pada peringkat prapelaksanaan dengan kos keseluruhan kita jangka mencecah RM30 juta. Kerja fizikal berkemungkinan bermula tahun depan," katanya.

-- BERNAMA