PUTRAJAYA: Program Kembara Merdeka yang diadakan bersempena dengan Bulan Kebangsaan 2024 menjadi platform terbaik untuk menyemarakkan semangat patriotisme dan rasa cinta kepada negara dalam kalangan komuniti desa, kata Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang.

Rubiah berkata pasukan kembara yang disertai 150 orang itu telah memulakan konvoi selama sembilan hari bermula 12 Ogos lepas dan berjaya merentasi 11 negeri di Semenanjung sejauh 1,545 kilometer (km) dengan membawa bendera Jalur Gemilang.

"Dengan menjadikan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Melaka sebagai garis permulaan, tujuan utama kembara ini adalah untuk menyampaikan mesej perpaduan dan taat setia serta cinta kepada tanah air.

"Program ini bukti komitmen warga KKDW (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah) untuk memperkukuh lagi ikatan persaudaraan dan semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat desa," katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutup program Sentuhan Kasih Desa MADANI KKDW di sini hari ini.

Beliau berkata program kembara itu perlu diteruskan agar dapat memberikan manfaat kepada komuniti desa selaras hasrat Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah semasa majlis penutup Kembara Merdeka 2023.

Selain program kembara, Rubiah berkata aktiviti Bulan Kebangsaan 2024 KKDW turut diserikan dengan pelbagai program lain bertujuan membuka ruang dan peluang untuk komuniti bersama-sama mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang kreatif serta inovatif.

Beliau berkata antara program yang diadakan ialah jualan usahawan di Dataran Gemilang, Presint 4 di sini, pertandingan motosikal kapcai Merdeka, demonstrasi pasukan keselamatan dan seminar keusahawanan.

"Program Eksplorasi Desa diadakan bagi mengukuhkan aktiviti ekonomi dan keusahawanan dalam kalangan komuniti usahawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (KEMAS) yang produktif dengan penyertaan 75 usahawan menyertai aktiviti jualan selama empat hari bermula 16 Ogos lepas," katanya.

Rubiah berkata program turut disertai 200 kanak-kanak bagi mendedahkan generasi muda tentang tanggungjawab serta amanah sebagai warganegara dan pentingnya menjaga keharmonian serta kestabilan negara.

"Ia membantu membentuk generasi masa depan yang lebih prihatin, bertanggungjawab, berdisiplin dan mempunyai semangat cintakan negara," katanya.

Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan 2024 pada 31 Ogos ini, Rubiah mengajak semua pengunjung untuk meningkatkan nilai murni, penghayatan agama serta amalan warisan seperti adat dan adab bagi membina benteng diri terhadap sebarang ancaman serta pengaruh asing.

"Kemerdekaan yang kita kecapi pada hari ini bukan sekadar pencapaian sejarah, tetapi ia juga bukti kesepaduan, kekuatan bersama dan semangat yang tidak pernah pudar," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah KEMAS Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi berkata peserta telah melengkapkan aktiviti kembara berkonsepkan "pas baton" dan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti kemasyakatan di setiap hentian di kawasan desa.

"Sepanjang program ini, peserta kembara telah berhenti di 24 hentian untuk mengadakan aktiviti bercorak sambutan kemerdekaan bersama komuniti desa," katanya dan menambah sambutan yang diterima amat menggalakkan.

Ahmad Kamal berkata antara pengisian program kembara ialah pelancaran sambutan Hari Kemerdekaan peringkat Tabika KEMAS negeri, edaran Jalur Gemilang kepada Tabika dan Taman Asuhan Kanak-kanak KEMAS serta komuniti desa, pertandingan dekorasi kek tema kemerdekaan dan persembahan patriotik.

-- BERNAMA