ALOR SETAR: Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan bahawa ciri-ciri yang dimiliki Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak menggambarkan pemimpin berkenaan merupakan antara produk yang lahir daripada tarbiah parti Pas.

Menurut beliau, sikap yang ditonjolkan itu juga jauh berbeza dengan keperibadian pemimpin-pemimpin Pas sebelum ini seperti Allahyarham Datuk Fadzil Noor, Allahyarham Tan Sri Abdul Aziz Nik Mat, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak dan beberapa pemimpin lain yang sangat dihormati.

Tambahnya, ciri-ciri yang perlu ada pada seorang pemimpin terutama Menteri Besar adalah mempunyai visi yang jelas, berhemah, memberi keutamaan dalam menyelesaikan masalah rakyat selain tidak 'beraksi' sebagai seorang penglipur lara yang hanya memilih untuk popular di mata orang ramai.

"Dalam perjalanan Pas sejak 1951, (ada) banyak watak pemimpin, ada yang kami kekal hormat sampai sekarang, (antaranya) Datuk Ustaz Fadhil Noor, (Tan Sri) Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, Almarhum Datuk Haji Haron Din, (dan) Tan Sri Ustaz Azizan Razak.

"Kita berbeza (parti) tetapi (perlu) jaga adab dan hemah, tetapi watak yang (satu) ini saya tengok macam bukan sebahagian daripada tarbiah Pas, tarbiah rohaniah, tarbiah rabbaniah, tarbiah ruhiyyah, saya tidak nampak ini adalah produk daripada siri tarbiah Pas yang berasaskan kepada tarbiah Quraniah

"Yang pelik, saya (juga) sebahagian daripada tarbiah itu dulu. Kalau setakat hadis, Quran, sirah, saya hafal benda seperti itu, dan daripada itu kita reti (tahu) waktu bila berbeza pendapat, choice of words itu, tetapi (pemimpin) yang ini saya tidak fikir produk yang genuine (asli) daripada Pas," ujar beliau.

Saifuddin berkata demikian ketika sidang media selepas Pelancaran Jentera Pilihanraya Parti Keadilan Rakyat Negeri Kedah, di Pejabat Keadilan Kedah, Lebuhraya Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada Sabtu.

Dalam perkembangan berasingan, beliau menyatakan pihaknya tidak menolak sebarang kemungkinan bahawa 'aura' yang ada pada kepimpinan Sanusi di Kedah mampu ditumbangkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sekali gus merampas pentadbiran negeri itu daripada PN.

Untuk rekod, Perikatan Nasional (PN) memiliki komposisi kerusi tertinggi di DUN Kedah dengan 21 kerusi dimana Pas mempunyai 15 kerusi diikuti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan enam kerusi.

PH pula memiliki 10 kerusi DUN, Barisan Nasional (dua kerusi) dan Parti Pejuang Tanah Air (dua kerusi).

DUN Gurun pula kosong selepas penyandangnya, Tan Sri Johari Abdul yang kini merupakan Speaker Dewan Rakyat membuat keputusan mengosongkan kerusi berkenaan pada Disember tahun lalu.

Saifuddin turut menzahirkan keyakinan bahawa mampu mempertahan kesemua kerusi DUN yang dimenangi pada PRU14 dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Tambahnya, PKR juga yakin mampu untuk menyumbangkan kemenangan di kerusi-kerusi tambahan yang diperuntukkan kepada parti itu dalam PRN di enam negeri termasuk Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan.