SUNGAI BAKAP: Perikatan Nasional (PN) akan menggunakan pelbagai saluran  termasuk platform media sosial untuk mendekati pengundi sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK), Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa, meskipun terdapat kekangan dan sekatan daripada Kerajaan Perpaduan, ia tidak akan melemahkan semangat PN sebaliknya, mereka akan menggadakan usaha mendekati pengundi walau apa cara sekalipun.

Menurut Muhammad Sanusi, selain media sosial, pihaknya juga akan menggunakan pelbagai kaedah lain termasuk melalui kaedah tradisional iaitu kempen rumah ke rumah.

“Depa (Mereka, Kerajaan Perpaduan) dah mula sekat kita akan lipat gandakan lagi… depa nak sekat banyak mana, kita akan cuba beri penjelasan kepada orang ramai.

“Kita ada banyak cadangan, kita akan guna… kita ada media sosial, media kontemporari, tradisional kita ada ceramah macam ini… kita akan pergi rumah ke rumah, jadi semua saluran kita akan gunakan,” kata Menteri Besar Kedah itu pada Majlis Pelancaran Jentera PRK PN N20 Sungai Bakap di Pejabat Pas kawasan Nibong Tebal, di sini, pada Sabtu.

Beliau menegaskan, PN akan memberi penjelasan kepada orang ramai berhubung kekangan yang dihadapi gabungan berkenaan dalam mendekati pengundi menerusi platform media sosial.

Pada Khamis lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini.

Kerusi DUN itu kosong susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff, 56, pada 24 Mei lepas semasa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) kerana mengalami keradangan dalam perut.

Berdasarkan kepada keputusan lalu, kerusi DUN Sungai Bakap dimenangi Nor Zamri yang memperoleh 15,433 undi atau majoriti 1,563 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Norhidayah Che Ros (13,870 undi).