KUALA LUMPUR: Sosok Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dijangka akan memainkan peranan lebih besar Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.


Ringkasan AI
  • Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, dijangka memainkan peranan utama dalam PRK DUN Sungai Bakap, membawa isu-isu nasional seperti subsidi diesel dan isu Melayu.
  • Gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional menggunakan pendekatan mendekati pengundi, dengan jentera BN memahami peranan PH dan wanita turun ke rumah-rumah untuk mengenal pasti pengundi.
  • Penting bagi setiap parti memastikan pengundi putih keluar mengundi, dengan PRK Sungai Bakap menyaksikan pertembungan antara calon PH, Dr Joohari Ariffin, dan calon PN, Abidin Ismail, dengan hari mengundi ditetapkan pada 6 Julai.


Penganalisis Politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Ainul Adzellie Hasnul berkata, ini kerana beliau dianggap panglima perang kepada Perikatan Nasional (PN) dan pastinya akan membawa isu-isu bersifat nasional seperti subsidi diesel dan serta isu lain melibatkan orang Melayu.

"Beliau akan mendominasi PRK kali ini. Bagaimanapun kita akan juga dapat melihat pemimpin dari PN di peringkat nasional seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dan Datuk Mohd Radzi Md Jidin akan main peranan bantu Pas mempertahankan kerusi Sg. Bakap yang dimenangi dalam pilihan raya negeri tahun lepas," katanya dalam program Fokus Minggu Depan, pada Sabtu.

Formula gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) turut dilihat bakal menjadi taruhan utama dalam merampas kembali Sungai Bakap seperti mana yang telah berlaku di Kuala Kubu Baharu sebelum ini.

Menurut Dr Ainul, beliau melihat terdapat satu simbiosis jalinan baik antara PH dan BN, di mana jentera BN kini lebih memahami peranan PH, dengan fokus diberi kepada pengundi menerusi kaedah turun melawat dan mendekati penduduk di kawasan DUN tersebut.

"Wanita akan turun ke setiap rumah di setiap pelusuk kampung untuk mengenal pasti mereka yang menjadi pengundi putih kepada BN dan PH.

"Selain itu, mereka juga mahu memastikan pengundi yang berada di atas pagar agar memilih mereka yang dianggap kerajaan yang berjaya setakat ini selepas memerintah negara sejak Nov 2022," ujarnya.

Tambahnya, dengan peratusan mengundi yang rendah di PRK Kuala Kubu Baharu iaitu hanya sekitar 61 peratus, adalah penting bagi jentera setiap parti memastikan pengundi putih keluar mengundi.

PRK Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH, Dr Joohari Ariffin dengan calon PN yang juga Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, Abidin Ismail.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai ini sebagai hari mengundi manakala pengundian awal pada 2 Julai.