KUALA LUMPUR: Kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah ke atas calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar dengan majoriti besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian oleh PN.

Ini kerana, menurut penganalisis politik, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, kemenangan dengan majoriti lebih 20,000 adalah sesuatu yang luar biasa walaupun untuk sebuah negeri yang dianggap kubu kuat UMNO.

Jelasnya, terdapat perubahan dari segi kempen yang dilaksanakan UMNO sejak kebelakangan ini, dengan memasukkan elemen manusia dan tidak lagi hanya bergantung pada ceramah mega.

“Walaupun orang kata Johor kubu kuat UMNO, tetapi 20,000 adalah majoriti yang harus diberi perhatian Perikatan Nasional.

“Ini yang selalu disebut referendum…adakah kali ini referendum rakyat terhadap pembangkang? Bukan lagi (terhadap) kerajaan.

“Jadi mereka harus dilihat strategi seterusnya, permainan catur ini bagaimana nak lakukan checkmate selepas ini.

“Peralihan kepercayaan masyarakat terhadap UMNO harus dilakukan secara sentuhan peribadi, tak boleh lagi duduk dalam ceramah mega.

“(Mereka) bercerita, apa yang kita lihat berlaku dalam kempen di Mahkota, lebih kepada walkabout, jumpa orang ramai, bercerita, bertanya secara terus terang.

“Itu yang dikehendaki oleh pengundi ketika ini, kalau ada masalah boleh terus bercerita dan mencari penyelesaian,” katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI Khas sempena PRK DUN Mahkota, pada Sabtu.

Pendapat itu turut dikongsi Pengurus Kanan Kajian Merdeka Centre, Tan Seng Keat yang merasakan ceramah mega seperti yang biasa dilakukan parti politik, kini sudah tidak berkesan.

“Selepas COVID-19, cara kempen politik, bukan saja di Malaysia tapi seluruh dunia, berubah.

“Ceramah besar sudah ‘kurang laku’, makin kurang orang pergi ceramah, lebih ramai (hanya) guna telefon pintar tapi teknologi canggih tak boleh ganti sentuhan manusia.

“Kita nampak dalam beberapa PRK, kempen rumah ke rumah dititik beratkan. Ceramah masih dibuat tapi ia perlu disertakan dengan teknologi untuk hebatkan (sebaran) mesej.

“Kali ini, kita kembali ke asas, kena ada sentuhan manusia antara calon atau parti dengan pengundi,” katanya.