GEORGE TOWN: Dua gabungan politik terbesar negara mengatur strategi dengan mempertaruhkan anak jati tempatan dalam gelanggang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang akan membuka tirai secara rasmi pada Sabtu ini.


Ringkasan AI
  • Dua gabungan politik terbesar, PH-BN dan PN, menampilkan calon anak jati tempatan untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap. PH-BN mencalonkan Joohari Ariffin, bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki, manakala PN menamakan Abidin Ismail, Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal.
  • Kedua-dua calon mempunyai latar belakang dan pengalaman yang berpotensi meraih sokongan pengundi. Joohari memiliki PhD dalam pengurusan dan kepimpinan pendidikan, manakala Abidin berpengalaman dalam parti dan kerja sosial. Pertandingan ini dijangka sengit kerana majoriti undi PRN lepas hanya 1,563 undi.
  • PRK DUN Sungai Bakap menjadi medan penting bagi PH-BN dan Pas. Keputusan PRK ini akan mencerminkan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan parti masing-masing, menjelang Pilihan Raya Umum ke-16. Pengundian dijadualkan pada 6 Julai dengan penamaan calon pada 22 Jun dan pengundian awal pada 2 Julai.


Dengan misi meraih sokongan pengundi tempatan, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di bawah 'khemah' Kerajaan Perpaduan mempertaruhkan bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Joohari Ariffin, 60, daripada PKR manakala Perikatan Nasional (PN) menamakan Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal Abidin Ismail, 56, sebagai calon mewakili mereka.

Pensyarah Kanan Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Jamaie Hamil berpandangan kedua-dua calon berada pada posisi yang mampu menyakinkan pengundi berdasarkan pengalaman kemasyarakatan, anak jati dan majoriti yang dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas.

Beliau berkata pengalaman Joohari lebih kepada tugas sebagai seorang penjawat awam dan pendidik manakala Abidin berpengalaman dalam parti serta kerja sosial, namun kedua-dua mereka berpotensi mencetuskan nilai sentimen kepada pengundi Sungai Bakap kerana anak jati tempatan.

Bagaimanapun penganalisis politik itu berkata jika melihat daripada sudut akademik, peluang lebih memihak kepada Joohari kerana merupakan pemegang ijazah kedoktoran (PhD) dalam pengurusan dan kepimpinan pendidikan dari Universiti Sains Malaysia (USM) seterusnya menggambarkan tahap keintelektualan yang mungkin jadi taruhan golongan pertengahan dan anak muda

"Biasanya orang ramai kalau hendak pilih calon, mereka tengok anak tempatan, tahap pendidikan dan pengalaman kerja atau bagaimana menangani hal-hal kemasyarakatan kerana itu menggambarkan tingkah laku apa yang akan dilakukan seseorang apabila menang di kawasan itu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Meskipun berkemungkinan terdapat saingan tiga penjuru, namun Jamaie menyifatkan PRK Sungai Bakap sebagai pentas pertembungan sengit antara PH-BN dan PN kerana perbezaan majoriti pada pilihan raya tahun lepas hanya 1,563 undi.

Selain itu katanya PKR pasti ingin merampas kembali kerusi yang dimenangi selama tiga penggal dari 2008 sebelum ia terlepas ke tangan Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lepas, dan Pas pula tentu sahaja mahu mempertahankan kerusi itu.

"Majoriti lebih 1,500 undi bukan kawasan putih pada yang menyandang manakala bukan hitam kepada yang bersaing. Jadi maksudnya mana-mana parti yang setaraf ada peluang untuk menang di situ sebab ia boleh dikatakan kelabu. Jika majoriti 2,000, itu baru kawasan hitam," katanya.

Joohari yang dinamakan sebagai Calon Perpaduan merupakan bekas guru dan dilantik sebagai Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara pada 4 April 2018 sebelum menamatkan perkhidmatan sebagai penjawat awam pada 1 Sept 2023, sementara calon Abidin pula bertugas dalam bidang logistik dan pembantu kepada penyandang kerusi Sungai Bakap, Allahyarham Nor Zamri Latiff.

Sementara itu, Felo Akademi Sains Malaysia, Prof Jayum Anak Jawan menyifatkan PRK DUN Sungai Bakap bukan pertandingan individu tetapi persaingan antara pihak yang mewakili ideologi dan parti iaitu antara PH dan PN atau Pas dan PKR.

"Ia juga mengenai ujian berkenaan sokongan kaum Melayu bagi parti PKR dan Pas," katanya.

Profesor Sains Politik Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata jika PH-BN menang di DUN Sungai Bakap, ia merupakan petanda bahawa sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kepimpinannya semakin kuat terutama dalam mengemudi negara menuju Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti.

PRK Sungai Bakap dilihat medan penting bagi PKR dan Pas kerana ia bakal menyaksikan sekali lagi pertembungan antara kedua-dua parti berkenaan bagi merebut kerusi sama setelah hampir 10 bulan selepas PRN 2023.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 2 Julai.

Kerusi DUN Sungai Bakap yang mempunyai 39,279 pemilih terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis kosong berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri daripada Pas pada 24 Mei lepas berikutan mengalami keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

-- BERNAMA