Ringkasan AI
- PKR akan kekal bertanding dalam PRK DUN Sungai Bakap atas keputusan sebulat suara pimpinan Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang.
- Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, dilantik sebagai Pengarah PRK DUN Sungai Bakap.
- PKR telah menghantar lima nama calon untuk dipertimbangkan bagi PRK tersebut.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang juga Pengerusi Gabungan Perpaduan Pulau Pinang berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira faktor PKR bertanding pada PRN (Pilihan Raya Negeri) lalu selain pernah menyandang DUN Sungai Bakap selama tiga penggal sebelum ini.
"Keputusan itu diambil secara sebulat suara atas semangat perpaduan dan kebersamaan dalam PRN lalu di mana Gabungan Perpaduan bertanding buat kali pertama.
"Kita akan cuba menang kembali kerusi Sungai Bakap yang sebelum ini sudah tiga penggal diwakili calon dari PKR mewakili PH dan sebelum ini Pakatan Rakyat," katanya.
Kon Yeow turut mengumumkan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, yang juga Timbalan Pengerusi PKR Pulau Pinang sebagai Pengarah PRK DUN Sungai Bakap bagi pimpinan Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat kepimpinan Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang di Wisma DAP di Jalan Rangoon, di sini, pada Isnin.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Pulau Pinang, Nurul Izzah Anwar dan Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir
Sementara itu, mengulas mengenai calon, Nurul Izzah berkata, setakat ini parti itu sudah menghantar lima nama calon untuk dipilih mewakili parti itu nanti.
"Kita mahu calon yang dipertaruhkan itu winnable candidate berdasarkan peratusan dan kemenangan tinggi... jadi ini bukan sesuatu yang mudah tapi kita mengambil kira perkara itu secara serius dalam menghantar nama calon," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat pada 6 Jun untuk menentukan tarikh penamaan calon dan pengundian PRK terbabit.
PRK Sungai Bakap diadakan susulan kekosongan luar jangka apabila penyandangnya Allahyarham Nor Zamri Latiff meninggal dunia pada 24 Mei lalu ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Seberang Jaya kerana mengalami keradangan perut.
Pada PRN Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose (PKR) dengan majoriti 1,563 undi.