GEORGE TOWN: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) tidak akan menghantar calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang akan membuka tirai secara rasmi Sabtu ini.


Ringkasan AI
  • Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) tidak akan menghantar calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap kerana sedang fokus pada regenerasi parti dan pemilihan ahli baru.
  • MUDA mengambil pendirian neutral tanpa menyokong mana-mana parti dan akan berkempen untuk memberi penerangan kepada pengundi mengenai pencapaian serta sumbangan PH dan PN, membantu mereka membuat keputusan yang bijak.
  • Pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Dr P. Ramasamy, juga tidak akan meletakkan calon tetapi akan berkempen untuk memastikan pengundi membuat pilihan yang tepat dalam PRK Sungai Bakap.


Ketua Penerangan MUDA Pulau Pinang Muhammad Danial Abdul Majeed berkata ini kerana MUDA sedang melakukan regenerasi dengan fokus kini adalah kepada pemilihan parti yang dijangka pada suku keempat tahun ini selain dalam proses pemutihan ahli dan mengumpul pendaftaran ahli baru.

"Sebenarnya jika diikutkan kita memang berhasrat (untuk bertanding)...Pulau Pinang ada calon, bekas calon yang pernah bertanding di peringkat Parlimen dan negeri malah calon-calon terbabit juga sedia untuk bertanding. Kita tak mahu muka baharu kerana tiada masa untuk dapatkan populariti.

"Bagaimanapun, atas beberapa faktor (kepimpinan), pusat nasihat supaya tak masuk (bertanding), jadi kita terpaksa akur. Tambahan, MUDA dalam proses regenerasi parti dan kalau (tetap) bertanding sekarang ia secara tidak langsung akan memberi kesan terhadap kerja keras yang sedang dilakukan, justeru nasihat mereka (pusat) bukan sekarang, tunggu hingga parti benar-benar kukuh barulah kita fikir untuk bertanding," katanya kepada Bernama.

Muhammad Daniel berkata MUDA mengambil pendirian neutral dengan tidak pro kepada mana-mana parti sama ada gabungan Pakatan Harapan (PH) mahu pun Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata meskipun tidak bertanding ia bukan bermakna MUDA akan duduk diam sebaliknya parti itu akan berkempen untuk memberi penerangan kepada pengundi agar mereka boleh membuat keputusan yang lebih jelas dan berharap dengan kaedah ini pengundi dapat buat pilihan yang bijak.

MUDA merancang untuk lancarkan penerangan secara fizikal dan dalam talian bagi menyampaikan maklumat kepada orang ramai khususnya pengundi Sungai Bakap mengenai pencapaian serta sumbangan PH dan PN sepanjang tempoh mereka menjadi kerajaan dan selepas itu terserah kepada pengundi Sungai Bakap untuk membuat pilihan, tambah beliau.

"Kita mungkin tak ada calon (di Sungai Bakap) tapi kita mahu pengundi pilih mereka yang betul-betul boleh bekerja untuk rakyat," katanya.

Muhammad Danial dalam pada itu mengakui pergerakan parti ketika ini sedikit perlahan berikutan kekurangan tenaga kerja selain memberitahu keahlian MUDA Pulau Pinang hanya kira-kira 9,000 orang, namun yakin dengan strategi yang sedang dirangka, MUDA akan bangkit sebagai sebuah parti yang lebih kukuh dan kuat satu hari nanti.

Sementara itu, Pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) Dr P. Ramasamy turut menyatakan pendirian tidak meletakkan calon pada PRK Sungai Bakap dan tidak menyokong mana-mana parti.

Seperti MUDA, Ramasamy berkata Urimai akan melakukan kempen sendiri bagi memastikan pengundi tidak salah pilih wakil rakyat mereka.

"Biasanya kita berkempen sebab ada calon, tapi (Urimai) tak ada calon, namun begitu kita akan tetap berkempen juga.

"Kita dah mulakan (kempen) secara 'bisik-bisik' sejak minggu lepas...kita pergi ke Ladang Sungai Kechil bertemu dengan masyarakat India di sana," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon, manakala pengundian awal pada 2 Julai.

Kerusi DUN Sungai Bakap yang mempunyai 39,279 pemilih terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis kosong berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Mohd Nor daripada PAS pada 24 Mei lepas berikutan mengalami keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

-- BERNAMA