Syed Hussien yang memakai baju batik dan bersongkok, tiba di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana di sini pada 8.54 pagi dan selesai mengundi kira-kira 15 minit kemudian.
Sementara itu ketika ditemui pemberita selepas selesai mengundi beliau menyatakan harapan agar semua pengundi termasuk mereka yang berada di luar DUN Mahkota, dapat datang ke pusat mengundi bagi menunaikan tanggungjawab itu, sebelum proses pengundian berakhir pada 6 petang ini.
"Masa masih panjang dan sama-sama kita turun dan buktikan pada negara bahawa Kluang sudah bersedia untuk menentukan masa depan kita semua. Terima kasih kepada semua yang hadir mengundi," katanya.
Syed Hussien juga meluahkan rasa syukur kerana proses pengundian yang bermula 8 pagi tadi, berjalan lancar dan terkawal setakat ini.
Beliau berkata kehadiran pelbagai lapisan masyarakat ke pusat mengundi, menunjukkan semangat 'keluarga besar Mahkota' dan kebersamaan Bangsa Johor.
PRK DUN Mahkota menyaksikan Syed Hussien yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, dicabar calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.
Seramai 61,274 pengundi layak memilih wakil rakyat baharu di 20 pusat mengundi melibatkan 109 saluran hari ini, manakala undi awal pada Selasa membabitkan 4,437 tentera dan pasangan serta polis.
PRK DUN Mahkota juga melibatkan 607 pengundi pos, dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan kertas undi pos pada 15 Sept.
Sementara itu, Mohamad Haizan, 61, yang juga pengundi berdaftar bagi DUN Mahkota menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Kampong Melayu pada 10 pagi ini.
Ketika ditemui pemberita, beliau berkata 'agak lewat' mengundi kerana berjumpa ibu mentua yang berusia 80-an di Simpang Renggam, dekat sini bagi memohon restu terlebih dahulu.
"Kita kena meminta restu sebelum membuat apa-apa untuk mendapat keberkatan," katanya.
Mohamad Haizan juga mengucapkan terima kasih terhadap semua pihak yang membantu melancarkan proses pengundian hari ini.
-- BERNAMA