Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan beliau tidak akan berundur dan akan terus memimpin negara selagi mendapat sokongan parti dan rakyat.

Pada masa sama, beliau akan terus berjuang habis-habisan dan memikul tanggungjawab yang diberikan.

"Selagi saya mendapat sokongan parti dan rakyat, saya akan terus memimpin. Saya tidak akan berundur, Insya-Allah. Kita akan bergerak maju ke depan.

"Saya tidak akan kecewakan ahli UMNO dan rakyat Malaysia. Semua pemimpin menghadapi cabaran dan apabila dah masuk ke gelanggang, jangan kita keluar di tengah-tengah perlawanan.

"Kita akan berjuang secara habis-habisan dan saya akan memikul tanggungjawab saya kepada parti dan rakyat," tegas Presiden UMNO itu dalam entri terbaharu di blog najibrazak.com hari ini.

Najib mengakui dunia politik berdepan situasi lebih mencabar selepas media sosial digunakan untuk menyebarkan kebencian kepada pemimpin sehingga budinya tidak bermakna.

"Dalam sejarah 40 tahun dalam politik, dulu tiada media sosial. Itulah faktor yang membezakan keadaan kita sekarang.

"Dulu tidak ada senjata untuk mencerca, fitnah dan mengaibkan pemimpin mahupun ada juga cubaan jatuhkan pemimpin. Kalau ada pun, mereka hanya gunakan surat layang dan cara lain," katanya lagi.

Najib menegaskan, serangan dilakukan untuk memastikan rakyat hilang kepercayaan terhadapnya dan pada masa sama berniat untuk menumbangkan parti yang terbina sejak sekian lama.

"Dalam politik, bagi menjatuhkan seseorang pemimpin, akan ada pelbagai konspirasi dalam dan luar negara kerana ini semua nak menjatuhkan UMNO sebagai parti yang menunjangi kepimpinan dan pentadbiran negara.

"Namun kita semua perlu jelas bahawa negara kita aman dan menjurus kepada kejayaan kerana dipimpin oleh parti keramat UMNO kita. Bersama-samalah kita faham akan situasi politik ketika ini," ujar beliau.

Najib, yang juga merupakan Ahli Parlimen Pekan, pada masa sama melahirkan penghargaan kepada rakyat di kawasan itu kerana terus memberi sokongan kepada beliau.