SHAH ALAM: Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung fitnah serta dakwaan ke atas Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Razali mendakwa, Anwar dan Ahmad Zahid serta sekutu mereka cuba menghancurkan kepimpinan PN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi melumpuhkan kekuatan politik gabungan parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang.
 
Menurutnya, ia termasuk membekukan akaun bank Bersatu dan mendakwa serta mengheret kepimpinan parti berkenaan ke mahkamah.

“Pada 6 Disember 2022, saya telah menonton televisyen, Anwar sebagai Menteri Kewangan mendakwa kerajaan di bawah Muhyiddin telah menyeleweng RM600 bilion pakej ekonomi.

“Dakwaan tersebut jelas adalah fitnah dan tohmahan palsu apabila RM600 bilion diturunkan kepada RM530 bilion sehingga ke RM92.5 billion kemudiannya kepada RM4.5 bilion sehingga akhirnya kepada RM300 juta sahaja.

“Ahmad Zahid menerusi ucapan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada Januari lalu menyatakan akan wujud kluster mahkamah dalam kalangan pemimpin PN dan Bersatu, meskipun siasatan penuh masih belum lengkap ketika itu.

“Ini adalah bukti jelas menunjukkan wujud konspirasi jahat ke atas Muhyiddin, PN dan Bersatu,” katanya menerusi laporan polis yang dikongsikan pada Rabu.

Razali (dua dari kiri) membuat laporan polis terhadap Anwar, Ahmad Zahid berhubung fitnah serta dakwaan ke atas Muhyiddin. - Foto Sinar Harian

Razali yang juga Pengerusi Bersatu Terengganu turut mendakwa, Anwar telah menyalahgunakan kuasanya selaku Perdana Menteri ke-10 dengan menekan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan ke atas kepimpinan Bersatu.

Ujar beliau, tindakan itu bertujuan memberi persepsi yang buruk kepada parti berkenaan dan cuba menampakkan fitnah dan tohmahan mempunyai asas bagi menghancurkan PN.

Justeru jelasnya, laporan polis dibuat untuk menghalang perbuatan jenayah dan mengekang penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin kerajaan yang menggunakan agensi penguat kuasa serta menyalahgunakan proses undang-undang demi kepentingan survival politik.

“Semua tindakan undang-undang yang dikenakan ke atas PN, Bersatu, Muhyiddin dan kepimpinan PN yang lain termasuk membekukan akaun Bersatu jelas menunjukkan konspirasi jahat dengan menyalahgunakan proses undang-undang dan bermotifkan pendakwaan politik.

“Tujuan sebenar Anwar, Ahmad Zahid dan pakatan mereka dalam Pakatan Harapan (PH) adalah untuk menimbulkan kebencian dan kemarahan rakyat kepada PN.

“Ia juga bertujuan menjatuhkan maruah daripada parti yang bersih kepada korupsi dan rasuah yang akan meresahkan rakyat serta menghakis kepercayaan kepada PN khususnya bagi menghadapi PRN akan datang,” ujarnya. -- Sinar Harian