Ketua Polis Daerah Kulai Sup Tan Seng Lee berkata lelaki berusia 55 tahun itu, membuat laporan polis pada Khamis lepas dan mendakwa sindiket berkenaan menawarkan keuntungan pelaburan berlipat kali ganda dalam tempoh singkat.
Beliau berkata wang keuntungan daripada pelaburan didakwa dimasukkan ke dalam akaun menerusi sebuah aplikasi dikenali sebagai 'P Trade Online'.
"Tertarik dengan keuntungan berlipat ganda yang dijanjikan, mangsa telah membuat 18 kali transaksi berjumlah RM527,116 ke tiga akaun bank tempatan.
"Transaksi itu dibuat bermula 19 Sept sehingga 25 Okt lepas," katanya pada kenyataan hari ini.
Tan berkata mangsa menyedari ditipu selepas gagal mengeluarkan keuntungannya berjumlah 3.251 juta yuan bersamaan RM2 juta, selain turut diminta untuk membuat bayaran tambahan berjumlah RM239,116.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu Tan berkata orang ramai yang ingin menyertai mana-mana skim pelaburan terutama menjanjikan keuntungan lumayan dalam masa singkat, dinasihatkan sentiasa berwaspada serta membuat semakan terperinci bagi mengelak menjadi mangsa penipuan sindiket pelaburan.
-- BERNAMA