Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata berdasarkan laporan daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, sebanyak 1,119 tangkapan berjaya dilakukan dengan 621 kes telah dituduh di mahkamah.
"Kes penipuan dalam talian itu membabitkan pelbagai modus operandi jenayah telekomunikasi, jenayah e-kewangan, love scam, jenayah e-dagang, pinjaman serta pelaburan tidak wujud.
"Di Melaka penipuan dalam talian melibatkan pelaburan paling banyak dilaporkan diikuti pembelian barangan secara dalam talian," katanya kepada pemberita di Jalan Taming Sari di sini hari ini.
Terdahulu beliau menjadi tetamu dalam segmen 'Apa Khabau YB' di konti MELAKA fm dan turut dihadiri Pengarah Jabatan Penyiaran Melaka Siti Norbaini Khairi.
Mengulas lanjut, Mohd Noor Helmy berkata pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh kerajaan bagi membendung masalah penipuan dalam talian ini, termasuk kempen kesedaran. Namun, beliau berharap masyarakat akan lebih peka dan prihatin agar tidak terpedaya dengan taktik penipuan yang digunakan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan yang meragukan untuk membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkaitan, bagi mengelakkan diri dari menjadi mangsa.
"Dalam perkembangan arus semasa yang seiring dengan kecanggihan teknologi, modus operandi digunakan penjenayah juga sentiasa berubah untuk memperdayakan mangsa mereka.
"Justeru kita berharap masyarakat dapat bertindak lebih rasional, selain tidak terpedaya dengan tawaran yang tidak munasabah untuk menarik mereka menjadi mangsa penipuan," katanya.
-- BERNAMA