KUALA LUMPUR: Seorang penganggur yang dipercayai bertindak kejam dengan membunuh ibunya yang berusia 80-an sebelum mayatnya disumbat dalam peti sejuk beku di kediamannya di Taman OUG, Jalan Klang Lama di sini selama tiga tahun, direman tujuh hari bermula Rabu.


Ringkasan AI
  • Seorang penganggur direman tujuh hari kerana disyaki membunuh ibunya yang berusia 80-an dan menyembunyikan mayat dalam peti sejuk selama tiga tahun.
  • Suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan polis masih menunggu laporan status kesihatannya serta menyiasat motif kejadian.
  • Mayat mangsa ditemui selepas suspek menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan dan membongkar rahsia mengenai mayat ibunya.


Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, lelaki berusia 53 tahun itu direman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi memboleh siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dijalankan.

Sabit kesalahan kata beliau, lelaki itu boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

"Suspek direman selama tujuh hari dari 13 hingga 19 November ini," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.

Rusdi memberitahu, berdasarkan semakan, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan polis masih lagi menunggu laporan berhubung status kesihatannya.

Beliau menambah, dalam tempoh tiga tahun 'kehilangan' mangsa, tidak ada seorang individu pun yang tampil membuat laporan.

Katanya, polis masih lagi menyiasat motif kejadian.

Namun begitu, sebelum ini dilaporkan perselisihan faham mengenai isu agama dipercayai menjadi punca suspek membunuh ibunya.

Suspek dipercayai menumbuk ibunya sehingga mati sebelum mayat warga emas itu dibalut dengan tuala dan kain kemudian disumbat dalam peti sejuk beku.

Suspek turut mendakwa membunuh ibunya pada Mac 2021 sebelum menyembunyikan mayat ibunya dalam peti sejuk beku itu.

Selepas lebih tiga tahun, katanya, mayat mangsa ditemui selepas kediaman suspek diperiksa sepasukan polis yang menerima laporan perkara itu pada jam 9 pagi Selasa.

Difahamkan, suspek yang mempunyai masalah kesihatan menghubungi talian kecemasan 999 bagi mendapatkan bantuan sebelum membongkar rahsia mengenai keberadaan mayat mangsa.

Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat dan suspek turut dibawa ke hospital sama untuk rawatan.