Kepimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) diminta agar menguruskan isu yang timbul dengan segera dan bijak agar tidak menjadi polemik dalam kalangan rakyat.

Perwakilan Perlis, Muhammad Yahya berkata, rakyat juga hari ini menjadikan Amanah sebagai sasaran untuk menyuarakan kemarahan mereka disebabkan kegagalan kerajaan PH menunaikan janji manifesto pilihan raya.

Beliau turut meminta pemimpin Amanah bertindak menegur mana-mana menteri daripada parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang sering mengeluarkan kenyataan ‘flip-flop’.

"Hari ini keluar berbagai flip flop, keputusan-keputusan yang tidak konsisten. Contohnya, isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Hari ini peraturan ini, esok dia ubah lagi, lusa lain lagi. Rakyat jadi keliru.

"Kita yang keluarkan (keputusan), kemudian kita ubah. Rakyat marah dengan mereka, Amanah juga jadi mangsa, jadi sasaran.

"Tegur perkara seperti ini, walaupun mereka menteri daripada parti lain,” kata Muhammad pada Konvensyen Nasional Amanah 2018 di Ipoh hari ini, membahaskan ucapan dasar presiden.


Beliau juga menggesa Presiden Amanah Mohamad Sabu, yang juga Menteri Pertahanan, mewujudkan jawatan pegawai khas khusus untuk membela nasib golongan veteran tentera.

Muhammad, yang juga veteran tentera berkata, golongan berkenaan kini seakan tidak terbela walaupun mereka menyokong PH dalam pilihan raya lalu.

Malah, katanya, terdapat terdapat segelintir veteran yang kini setaraf pekerja asing dengan bekerja sebagai pengawal keselamatan.

“Presiden selaku menteri pertahanan perlu beri perhatian lebih kepada veteran. Hari ini ada 375,000 veteran, dan kebanyakan mereka ini dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mengundi kita.

"Selain itu, ada 240,000 veteran yang tidak berpencen. Nun jauh di kampung-kampung, kehidupan mereka setaraf pekerja asing warga Nepal dan Bangladesh, di samping mereka ada veteran yang bekerja sebagai pengawal keselamatan,” kata Muhammad.

Fungsi pegawai khas itu katanya adalah menjaga kebajikan veteran dan tidak terikat dengan tugas rasmi Kementerian Pertahanan.