IPOH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Kerajaan Perpaduan di semua negeri turut serta mengadakan konvensyen bagi memperkukuh kestabilan gabungan itu.

"Saya akan gunakan pengalaman ini. Ini sebagai permulaan (Konvensyen Kerajaan Perpaduan Perak) saya minta semua negeri-negeri lain ikut serta," katanya ketika berucap pada perasmian penutup Konvensyen Kerajaan Perpaduan Perak di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga Pengerusi BN Perak, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak Datuk Seri Mujahid Yusof dan Naib Pengerusi DAP Nga Kor Ming.

Sementara itu menyifatkan Perak telah mencipta sejarah, Anwar yang juga Pengerusi PH berkata konvensyen peringkat negeri yang julung kali diadakan ini menjadi kayu ukur persefahaman dalam Kerajaan Perpaduan kerana gabungan kerajaan campuran dalam mana-mana negara seringkali dianggap sukar.

Beliau berkata ia juga menerusi pengalaman parti-parti politik sebelum ini yang menyaksikan fasa "perpisahan" menerusi beberapa gabungan politik bagi membentuk kerajaan.

"PH sendiri sebelum ini tidak dapat bertahan setelah PAS memilih untuk keluar, tetapi sekarang dengan DAP dan Amanah jadi bertambah kukuh.

"Ia (Konvensyen Perpaduan) akan jadi kekuatan baharu untuk dekad-dekad yang akan datang dan tidak mudah disangkal dan dirobohkan," katanya.

Lebih 1,500 perwakilan menghadiri konvensyen tersebut melibatkan wakil sayap PH dan BN negeri.

-- BERNAMA