Ringkasan AI
- Keputusan Kerjasama: Keputusan mengenai kerjasama antara BN dan PH menjelang PRU16 akan ditentukan selepas dibawa ke peringkat Dewan Tertinggi BN. BN terdiri daripada empat parti iaitu UMNO, MCA, MIC, dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). Keputusan perlulah dicapai melalui konsensus kesemua parti tersebut.
- Pentingnya Persekitaran Politik Semasa: Keputusan perlu mengambil kira persekitaran politik semasa, kesan kepincangan dalaman, serta sokongan pengundi Melayu dan bukan Melayu. Akar umbi perlu memahami visi dan strategi yang ingin dibawa oleh BN untuk memudahkan perancangan penentuan kerusi dan calon menjelang PRU16.
- Kesediaan dan Muhasabah: Pentadbiran sebelumnya memilih untuk bergerak solo pada PRU15, menyebabkan pertembungan dalam pilihan raya. BN perlu mengambil kira perasaan parti-parti komponen dan memastikan kerjasama tidak didominasi oleh keegoan politik, tetapi berdasarkan muhasabah dan pembelajaran dari kekalahan pada 2018 dan 2022.
Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Sivamurugan Pandian berpandangan keputusan yang dibuat perlu mengambil kira persekitaran politik semasa, kesan kepincangan dalaman serta sokongan pengundi Melayu dan bukan Melayu.
Katanya lagi, akar umbi perlu memahami 'roh' sebenar yang mahu dibawa oleh BN, sekali gus memudahkan proses perancangan penentuan kerusi dan calon menjelang PRU16.
"Jika BN membuat pilihan untuk bergerak sendirian, bermakna itu juga perlu mendapat pandangan daripada akar umbi dari awal yang boleh membawa kepada sesuatu yang lebih kukuh.
"Apabila dibawa kepada peringkat atasan, (perkara yang perlu diambil kira) perbincangan dan penelitiannya serta bagaimana itu mampu merangka strategi yang lebih bersifat menyeluruh.
"Tetapi saya percaya pandangan di peringkat akar umbi, cawangan serta negeri juga perlu diperolehi dan kemudian Majlis Tertinggi parti masing-masing agar ia memberi satu yang lebih bersifat membawa kepada motivasi dan keazaman untuk perancangan ke arah kempen PRU16, walaupun masanya masih dilihat terlalu lama," katanya dalam program AWANI Pagi pada Isnin.
Mengulas lanjut, Sivamurugan berkata ketika PRU15 yang lalu, pentadbiran ketika itu mengambil keputusan untuk bergerak solo dan tidak bekerjasama dengan parti-parti yang membentuk kerajaan.
Tindakan itu, jelasnya menyebabkan berlaku pertembungan dalam pilihan raya berkenaan.
Selain itu, Sivamurugan menambah, BN juga perlu mengambil kira perasaan parti-parti komponen mereka kerana kenyataan yang dibuat Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilihat diterima baik oleh DAP.
"Sudah pasti itu menimbulkan satu kegelisahan buat MCA kerana akan mewujudkan kedudukan yang begitu kompleks seperti pertindihan dan agihan kerusi.
"Bermakna, jika dari awal sudah diberikan bayangan agar kerjasama itu dikekalkan atau tidak, itu dapat membawa kepada satu pemilihan calon dan agihan kerusi yang lebih nyata.
"Ini kerana ia perlu jelas supaya persediaan ke arah PRU16 tidak akan didominasi dengan keegoan politik dan juga sifat muhasabah yang dirasakan perlu dilakukan berdasarkan kepada kekalahan pada 2018 dan 2022," katanya.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO sebelum ini dilapor berkata, BN akan terus bekerjasama dengan PH bagi menghadapi PRU16.
Menurutnya, mana-mana parti komponen BN yang mahu perkara terbabit diputuskan lebih awal, boleh membawanya untuk dibincangkan dalam mesyuarat.
Susulan itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan kerjasama tersebut hanya akan diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa tertinggi BN dan ia merupakan prosedur operasi standard (SOP) parti itu.