KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan beliau tidak pernah memberi mandat kepada Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk berunding dengan Barisan Nasional (BN) bagi tujuan membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Tujuan PN bertanding pada PRU15 adalah untuk membentuk kerajaan tanpa perlu bergabung dengan BN atau Pakatan Harapan (PH).

"Saya berdoa dengan izin Allah S.W.T dan sokongan padu rakyat, PN akan memenangi jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri-negeri yang terlibat dalam PRU15," ciap Muhyiddin dalam akaun Twitternya.

Dalam satu Ceramah Perdana PRU15 di Kampung Kubang Kiat, Kota Bharu, Kelantan, semalam Takiyuddin menyatakan keyakinan PN dapat membentuk kerajaan hasil gabungan dengan parti lain, terutama BN.

Takiyuddin, yang juga calon Parlimen Kota Bharu menjangkakan BN akan menerima penggabungan itu.

Selain PAS, parti komponen lain PN adalah Bersatu, Gerakan, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah AirKu (STAR).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 19 Nov sebagai hari mengundi bagi PRU15 manakala pengundian awal berlangsung hari ini.

-- BERNAMA