BALIK PULAU: Sering kali kempen pilihan raya dikaitkan dengan isu-isu pergaduhan, provokasi mahupun perang mulut yang berlaku antara penyokong-penyokong parti yang berbeza ideologi.

Namun lain keadaannya kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Parlimen Balik Pulau, apabila kematangan berpolitik terserlah dalam kalangan anak muda apabila masing-masing berlapang dada dan menghormati fahaman politik masing-masing.

Suasana tenang dan mesra itu dilihat ketika sekumpulan anak muda yang merupakan penyokong parti berbeza memasang bendera parti masing-masing di tempat yang sama.

Mengulas situasi itu, Norazmie Abdul Rahim, 44, yang merupakan salah seorang jentera Perikatan Nasional (PN) Balik Pulau, berkata suasana harmoni itu sudah menjadi kebiasaan anak muda di kawasan berkenaan.

Katanya, meskipun berlainan parti dan fahaman politik, mereka masih mengekalkan sikap profesional dan saling bantu-membantu.

"Buat apa kita mahu bergaduh, lihat saja menteri yang berada dalam sidang Parlimen, kita nampak mereka seolah-olah macam bergaduh, sedangkan di luar sidang mereka boleh duduk semeja dan bersembang.

"Jadi kita pun perlu ada sikap sama, kalau bendera kami jatuh, mereka kutip, begitu juga sebaliknya" katanya merujuk suasana mesra antara jentera PN, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di kawasan itu.


[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Kerajaan Selangor setuju beri cuti umum pada 18 Nov - MB Selangor

SEMAK CALON PRU15 DI SINI!


Sementara itu, veteran UMNO Balik Pulau, Ismail Kassim,  berkata walaupun berlainan 'topi' parti tetapi kematangan berpolitik yang dtunjukkan anak muda di Parlimen Balik Pulau wajar dijadikan contoh.

"Sebagai orang lama dalam politik saya lihat, suasana sudah mulai berubah, jentera parti kini lebih 'cool', mereka lebih terbuka dan matang, kalau dahulu, pantang berjumpa situasi memasang bendera parti  menjadi 'panas dan tegang ' jika jentera parti bertembung di satu-satu kawasan.

"Saya lihat mereka gembira dan situasi itu menambahkan lagi kemeriahan sepanjang  kempen PRU kali ini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Ismail berkata, meskipun berlainan fahaman politik namun hubungan kemanusian dan silaturrahim tetap dijaga.

Terdahulu tular rakaman video jentera BN, PH dan PN Balik Pulau bergambar bersama dalam suasana mesra dan ceria ketika masing-masing bertugas memasang bendera parti di sebuah kawasan yang sama.

Keadaan itu mengundang pujian banyak pihak termasuk netizen yang menyatakan suasana seperti itu menandakan kematangan berpolitik anak muda.