Dalam satu hantaran di Facebook hari ini, Dr Mahathir mendakwa Muhyiddin selaku Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) cuba mengaitkan dirinya dalam isu ini.
“Sebenarnya amat mudah nak pastikan siapa pengkhianat sehingga saya melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas 22 bulan memerintah. Ada satu ungkapan Bahasa Latin cui bono – yang bermakna siapa yang mendapat keuntungan dari sesuatu keadaan.
”Siapa yang selepas itu takut hilang jawatan PM hingga sekat Parlimen bersidang? Bukankah Muhyiddin juga PM yang minta isytihar darurat supaya Parlimen tidak dapat bersidang?,” soalnya sinis.
BACA: PRU15: Mahathir sanggup lupakan 'pengkhianatan' untuk kerjasama dengan PN
BACA: "Saya bukan pengkhianat" - Muhyiddin jawab dakwaan tikam Tun M dari belakang
Dr Mahathir berkata, beliau bukan Perdana Menteri melalui 'pintu belakang' atau 'tebuk atap' seperti Muhyiddin.
”Semasa Muhyiddin PM, dia usahakan supaya pilihan raya Negeri Sabah dibuat ketika negara teruk dilanda COVID-19 dan selepas pilihan raya itu kes-kes naik mendadak dan ramai yang mati akibatnya.
“Muhyiddin juga tuduh saya setuju dia jadi PM. Tapi dia tak cerita soalan saya kepadanya sanggupkah dia jadi PM dengan sokongan kleptokrat.
“Dia jawab sanggup dan dengan angkuh berkata dia tahu macam mana nak tangani kerana dia ada pengalaman politik lebih 40 tahun,” dakwa Tun M.
Hantaran ini dibuat sehari selepas Muhyiddin mendedahkan, peletakan jawatan Mahathir sebagai Perdana Menteri ketujuh pada 24 Februari 2020 adalah atas kerelaan sendiri walaupun telah dipujuk agar tidak meneruskan niat itu.
Menjawab pendedahan Muhyiddin, Tun M juga mendakwa Muhyiddin tidak malu kerana walaupun perisytiharan darurat yang dimintanya ditolak oleh Yang di-Pertuan Agong tetapi beliau sanggup minta perisytiharan sekali lagi demi mengekalkan jawatan.
Tambah beliau, akhirnya Muhyiddin 'tersembam' selepas cuma 17 bulan menjadi Perdana Menteri setelah dikhianati oleh ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN.
”Dalam pada itu, beberapa negeri yang dipimpin oleh Bersatu telah jatuh ke tangan UMNO dan dibiarkan oleh Muhyiddin asalkan dia kekal jadi PM,” ujarnya.
Dr Mahathir berkata, biarpun diperlakukan begitu, beliau masih sanggup bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada PRU15 kerana cuba bersangka baik dengan Muhyiddin.
"Pasti ada yang tanya kalau itulah perangai Muhyiddin kenapa saya sebelum ini sanggup cadang kerjasama Pejuang/GTA bersama PN untuk Pilihan Raya Umum ke-15. Saya cuba bersangka baik bahawa setelah dijatuh dan dihina oleh UMNO, dia taubat atau merasa kesal dengan perbuatannya.
”Dia khianat kepada saya tidak mengapa. Saya sangka dia akan cuba tebus khianatnya kepada parti Bersatu sehingga hilang beberapa negeri dan kepada rakyat keseluruhan.
”Rupanya dia tetap angkuh dan hanya mahu menjadi PM,” katanya.