Menurutnya, ia adalah bagi membuktikan penduduk di Perlis mampu diketengahkan terutama dalam kepimpinan di peringkat kawasan bukannya calon yang sering 'berpindah-randah'.
"Orang Arau, saya minta pilih calon tempatan... termasuk di Padang Besar, calon daripada KL (BN)... yang di Arau (BN letak) calon daripada Pulau Pinang.
"Orang Perlis pun ramai pemimpin, ramai tokoh hebat dan berwibawa, elok pilih calon tempatan, sebab calon luar seringkali datang dan pergi. Kalau dia (orang luar yang bertanding di Perlis) hebat, bertandinglah tempat sendiri kenapa cari tempat orang?," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Proses Penamaan Calon Parlimen Arau di Dewan Harumanis, Politeknik Tuan Syed Sirajuddin di Arau pada Sabtu.
[LAPOR LANGSUNG] Hari Penamaan Calon: Gelanggang PRU15 sudah dibuka
Dalam pada itu, Shahidan menzahirkan keyakinan bahawa beliau dan calon Perikatan Nasional (PN) di kesemua DUN dalam Parlimen Arau akan menang.
Katanya, ia sekali gus membawa kepada perubahan kerajaan baharu dengan jangkaan tiga lagi DUN di Parlimen Kangar serta beberapa DUN dalam Parlimen Padang Besar berjaya dirampas PN.
Tambahnya secara berseloroh, Pengerusi PN Perlis yang juga calon DUN Sanglang, Mohd Shukri Ramli bermungkinan akan dipilih menjadi Menteri Besar yang baharu sekiranya sasaran itu berjaya dicapai.
"Di Arau, lima DUN, saya yakin kita menang dan Parlimen (ini juga) kita menang. Di Perlis kita akan menang dengan cemerlang, kita jangka dapat tiga kerusi daripada Kangar, (dengan itu) sudah boleh perintah negeri. Cikgu Shukri bakal jadi MB, (20 November boleh) menghadap Tuanku," katanya.
Terdahulu, Parlimen Arau yang disebut-sebut sebagai salah satu kerusi panas bagi Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Ketiga-tiga calon berkenaan adalah penyandang kerusi itu, Datuk Seri Shahidan Kassim yang kini bertanding atas tiket PN, Datuk Rozabil Abdul Rahman (BN) dan calon berusia 28 tahun yang ditampilkan Pakatan Harapan, Fathin Amelia Fazlie.
Pengumuman itu dibuat pada jam 12.15 tengahari oleh Pegawai Pengurus Pusat Penamaan Calon Parlimen Arau, Abdul Malek Hassan.