BEAUFORT: Rakyat Sabah perlu yakin terhadap janji dalam manifesto Barisan Nasional (BN) khususnya mengenai usaha membasmi kemiskinan di seluruh negara, kata Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau berkata ini kerana BN tidak akan melupakan janjinya untuk menambah pendapatan bulanan isi rumah berpendapatan di bawah garis kemiskinan yang digariskan dalam manifesto Perancangan Amal dan Usaha (PADU) BN bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Kita tahu rakyat sekarang tidak boleh dibodoh-bodohkan, kalau kita tidak tunaikan janji, bermakna kerajaan kita selepas ini hanya akan bertahan sepenggal saja. Kalau tidak boleh buat, jangan berjanji tetapi BN apa yang kita janji dalam manifesto pasti kita akan tunaikan kerana (apa yang) dijanjikan itu adalah realistik.

"BN akan melaksanakannya untuk memastikan tiada lagi rakyat di Sabah ini berada di bawah garis kemiskinan iaitu pendapatan bawah RM2,208," katanya ketika berucap pada majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan berkempen untuk calon BN Parlimen Beaufort Datuk Siti Aminah Aching di sini hari ini.

Beliau berkata tambahan pendapatan itu penting bagi mengatasi isu kemiskinan dan memastikan isi rumah berpendapatan di bawah RM2,208 sebulan menerima pendapatan yang mencukupi untuk meletakkan mereka di atas garis kemiskinan.

"Bagi ibu bapa dalam kategori B40 yang berpendapatan RM1,500 sebulan, mereka akan diberi 'top up' sebanyak RM708 setiap bulan dan jika pendapatan mereka RM1,000 maka dapat RM1,208 setiap bulan," kata Bung Moktar.

Ketika membentangkan PADU Selasa lepas, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pendekatan itu adalah satu revolusi besar-besaran dalam sistem pengagihan bantuan di seluruh negara yang dikenali sebagai skim bantuan pendapatan asas.

Melalui skim itu, katanya kerajaan akan mengkreditkan atau memasukkan secara automatik kepada isi rumah yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM2,208 bagi memastikan semua isi rumah seluruh negara mempunyai sekurang-kurangnya RM2,208 sebulan.

Berikutan itu, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata pengundi di negeri ini perlu menyokong calon BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi memastikan kemenangan besar BN agar manifesto PADU yang dibentangkan BN dapat direalisasikan.

Katanya, selain pendapatan bulanan, inisiatif BN jika berjaya membentuk kerajaan pada 19 Nov ini, turut merangkumi penyediaan pendidikan awal kanak-kanak bawah enam tahun dan kemasukan ke pengajian tinggi secara percuma bagi golongan B40 juga berlandaskan usaha mengurangkan beban rakyat.

-- BERNAMA