PETALING JAYA: Parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disaran mengikut jejak langkah Parti Keadilan Rakyat (PKR) mewajibkan calon membuat pengisytiharan harta. 

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, masih belum terlambat untuk parti-parti lain membuat perkara berkenaan.

"Saya berharap juga supaya parti-parti lain mengambil tindakan yang sama, masih belum terlambat untuk mereka mengikuti jejak Keadilan untuk mewajibkan calon membuat pengisytiharan harta kerana di mata rakyat tidak ada dolak-dalik atau alasan untuk tidak mengisytihar harga.

"Tiada yang perlu disembunyikan, sebenarnya ia mudah. Adalah suatu yang natural untuk anda tahu kewangan anda," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini pada Khamis.

Tegas, mana-mana calon tidak boleh menyalahkan orang awam yang mengesyaki, atau signikal terhadap mereka kerana tidak mengisytiharkan harta.

"Oleh sebab itu, PKR merasakan isytihar harta ini cukup penting untuk kita melawan perasaan signikal dan sinis pengundi muda terutamanya.

"Kalau kita nak pastikan peratusan keluar mengundi yang tinggi dan penglibatan tinggi pengundi kali pertama khususnya, salah satu caranya ialah isytihar harta kita bagi meyakinkan bahawa masih ada harapan di negara ini,' ujarnya. 

Malah, ia akan menunjukkan kepada pengundi muda bahawa calon-calon wakil rakyat yang diketengahkan mempunyai integriti yang tinggi.

Rafizi sebelum ini adalah calon pertama mengisytiharkan hartanya sebagai sebahagian daripada syarat yang ditetapkan kepada semua calon yang bertanding atas tiket PKR.